PETALING JAYA: Seorang lelaki mabuk ditahan kerana mengganggu pelanggan sedang menjamu selera dan bergaduh dengan sekumpulan pekerja sebuah restoran di Bukit Beruntung, dekat sini, Jumaat.
Dalam kejadian pada 4 petang itu, lelaki berusia dikatakan mengambil pisau dan merosakkan beberapa peralatan di premis terbabit selepas berang dihalau keluar restoran tersebut selepas mengganggu pelanggan sedang menjamu selera.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, pergaduhan berlaku selama kira-kira 30 minit membabitkan lelaki warga tempatan dan enam pekerja restoran itu.
“Kejadian dipercayai berlaku apabila seorang pekerja yang juga juruwang menyedari suspek masuk ke restoran dalam keadaan mabuk dan mula mengganggu pelanggan.
“Akibat itu berlaku pergaduhan sehinggakan lelaki tersebut cedera di jari telunjuk, siku dan kening,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, katanya, suspek berjaya ditahan dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
“Suspek yang mempunyai enam rekod lampau kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular di laman sosial X memaparkan dua video pergaduhan sekumpulan lelaki di sebuah restoran dipercayai berlaku di daerah terbabit.


































