Serpihan sayap pesawat yang dibawa keluar daripada sekitar kawasan Kampung Tok Muda, Kapar, Klang.
PETALING JAYA: Pesawat Gabriel BK160TR yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, Selangor Selasa lalu merupakan kapal terbang ringan yang sedang dipromosi kepada pelanggan di negara ini.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan memaklumkan, pesawat dengan tanda pendaftaran I-POOC adalah milik syarikat Blackshape S.p.A dari Itali.
Katanya, syarikat dari Hong Kong iaitu Sky Media Ltd. pula bertindak sebagai pengedar pesawat bagi Blackshape S.p.A untuk rantau Asia Tenggara.
“Sky Media Ltd. melantik syarikat Singapura, Aviation Safety Technology Pte. Ltd. (AST) untuk perkhidmatan pemasaran bagi pesawat berkenaan,” katanya semalam.
Menurutnya, AST juga telah melantik juruterbang yang terlibat dalam kemalangan tersebut untuk mengendalikan pesawat Gabriel BK160TR bagi tujuan promosi itu.
“Pada waktu kemalangan, pesawat ini mempunyai pensijilan kelayakan terbang yang sah di bawah European Union Aviation Safety Agency (EASA).
“Penyiasatan akan diteruskan untuk menentukan hal keadaan dan punca kemalangan dengan tujuan menyelamatkan nyawa dan mengelakkan berlaku kemalangan yang sama pada masa hadapan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, selaras dengan Fourth Edition 13, Aircraft Accident Investigation, International Civil Aviation Organisation (ICAO Annex 13), laporan awal disediakan dalam tempoh 30 hari daripada berlakunya kemalangan diikuti laporan penuh selewat-lewatnya 12 bulan dari insiden tersebut.
Pada 13 Januari lalu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah pesawat ringan terhempas dan juruterbang serta pembantunya maut dalam kejadian itu.


































