Fisol Salleh menunjukkan dua pucuk pistol dan 240 butir peluru yang ditemui dalam kereta suspek yang maut dalam kejadian berbalas tembakan di Jalan Bukit Kechil, Napoh di Jitra.
JITRA: Polis menemukan dua pucuk pistol dan 240 butir peluru dalam kereta dinaiki suspek lelaki yang maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Jalan Bukit Kechil, Napoh di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, suspek warga tempatan berusia 57 tahun mati di tempat duduk pemandu dengan kesan tembakan di dada.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, berdasarkan maklumat penyeludupan senjata api termasuk laluan yang disyaki digunakan penyeludup, pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah melakukan rondaan dalam Op Laras di kawasan tersebut.
Katanya, anggota seterusnya mengesan sebuah kereta jenis Proton Saga dalam keadaan mencurigakan dan mengarahkan suspek berhenti.
“Kereta suspek terbabas ke bahu kiri jalan sebelum lelaki itu bertindak melepaskan dua das tembakan ke arah anggota polis. Anggota seterusnya melepaskan empat das tembakan dan menyebabkan suspek maut di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, malam ini.
Kata beliau, hasil pemeriksaan ke atas kereta berkenaan menemukan dua pucuk pistol 9 milimeter (mm) dan .38 serta 240 butir peluru terdiri daripada masing-masing 100 butir peluru 9mm dan .38 dan 40 butir peluru 5.56.
“Kita sedang menyiasat sama ada pistol serta peluru yang ditemui itu diseludup dari negara jiran dan sama ada terdapat penglibatan sindiket,” ujarnya.
Menurutnya, hasil semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah membabitkan kes dadah dan senjata api tiruan.
Tambahnya, mayat suspek dibawa ke Hospital Jitra untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.
































