Rangka motosikal yang hangus akibat kebakaran di rumah pangsa empat tingkat di Taman Pontian Utama, di Pontian, Johor.
PONTIAN: Enam penghuni berjaya diselamatkan setelah terperangkap dalam kejadian kebakaran di rumah pangsa empat tingkat di Taman Pontian Utama, dekat sini, tengah malam tadi.
Bagimanapun seorang mangsa wanita berusia 38 tahun cedera di bahagian tangan kanan dan diberikan rawatan oleh Pasukan Keluar Mencari ( PKO ) di lokasi kebakaran.
Menurut Utusan Malaysia, Komander Operasi, Mahadir Mamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru berkata, kesemua enam mangsa terperangkap di ruangan tingkat satu rumah pangsa tersebut.
“ Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, kebakaran berlaku di bahagian bawah melibatkan ruang bilik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terbakar lebih kurang 10 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mahadir, empat buah motosikal yang diletakkan di kawasan tersebut juga musnah 90 peratus dalam kebakaran tersebut.
Jelas beliau, api berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 2.38 pagi dan punca kejadian serta kerugian masih dalam siasatan.


































