SHAH ALAM: Berlaku curang babitkan pembelian emas keseluruhan seberat 131 kilogram (kg) merupakan 19 pendakwaan yang dihadapi dua daripada tiga individu dalam pengurusan Aman Palestin Sdn. Bhd. (Aman Palestin) dalam 164 pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Pembelian tersebut didakwa dibuat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut, 52, dan Pengerusi Eksekutif, Abdullah Zaik Abd. Rahman 58, secara berperingkat antara 2018 hingga 2023 melibatkan jumlah berat antara dua kg hingga 131kg berjumlah lebih RM39 juta.
Menurut Utusan Malaysia, mereka dan seorang lagi individu, Khairuddin Mohd. Ali, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram dan pecah amanah berjumlah RM39.53 juta selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.
Dalam prosiding tersebut, Awang Suffian dan Abdullah Zaik masing-masing didakwa dengan 52 pertuduhan pecah amanah harta milik Aman Palestin bernilai RM20,946,498.80 dan dituduh di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, sementara sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun, sebat dan denda, sekiranya disabitkan kesalahan.
Mereka juga didakwa secara bersama bagi 19 pertuduhan penipuan dengan memperdayakan Aman Palestin supaya menyerahkan wang keseluruhan RM39,150,000 kepada Samudra Champa Sdn. Bhd. (Samudra Champa) bagi pembelian emas seberat dua hingga 131 kilogram (kg).
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda.
Mereka yang juga berperanan sebagai Pengarah Syarikat Samudra Champa turut menghadapi 19 pertuduhan masing-masing kerana menggunakan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM12,833,772.16.
Wang tersebut didakwa digunakan bagi pembelian rumah kedai dua dan tiga tingkat serta semi-D antaranya di Kajang dekat sini selain Batu Pahat, Johor dan Kangar, Perlis serta Kota Kinabalu di Sabah.
Selain itu, hasil itu juga digunakan bagi pembelian empat lot tanah masing-masing di Hulu Selangor dan Batang Kali selain kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.
Khairuddin yang merupakan pengarah sebuah syarikat pelaburan pula didakwa tiga pertuduhan yang sama berjumlah RM6,038,016.60.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi.
Kesemua perbuatan tersebut dilakukan di empat cawangan bank dan pejabat Aman Palestin di Bandar Baru Bangi dekat sini antara 2018 hingga 2023.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM1 juta kepada Awang Suffian dan Abdullah Zaik manakala Khairudin sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin.
Anita kemudian menetapkan sebutan semula kes bagi kesemua tertuduh pada 13 Mac depan.
































