Abdul Asmawi Abd. Halim sentiasa membawa bekalan air berikutan cuaca panas mencecah sehingga 39 darjah celsius di Kangar, Perlis semalam.
KANGAR: Penduduk di negeri ini berdepan cuaca panas melampau yang mencecah 38 sehingga 39 darjah celsius sekali gus menyebabkan mereka sentiasa memerlukan bekalan air.
Fenomena tersebut juga menyebabkan daun-daun pokok mula kering dengan cuaca panas tersebut juga berlarutan sehingga waktu petang dengan sedikit berangin pada waktu malam.
Menurut Utusan Malaysia, seorang pemilik kedai makan, Abdul Asmawi Abd. Halim, 29, berkata, cuaca kali ini agak panas berbanding tahun-tahun sebelum ini dengan dijangka akan berterusan sehingga April.
Katanya, dalam tempoh sekarang, dia sekurang-kurangnya minum air antara tiga ke empat botol sehari bagi mengelak dehidrasi.
Malah katanya, apabila berada di rumah, dia sentiasa menghidupkan pendingin hawa dengan bil sudah melonjak sehingga RM300 sebulan.
“Cuaca kali ini sangat panas, pukul 10 pagi bahang juga sudah terasa dengan keadaan bertambah panas antara pukul 1 tengahari sehingga lima petang. Jika tidak ada apa-apa urusan, saya akan lebih banyak di rumah.
“Musim panas ini juga, ramai kanak-kanak mula demam yang kadang-kala tidak tahan dengan keadaan cuaca panas kali ini.
“Malah dijangka cuaca pada Rabu ini yang difahamkan pada kadar 37 darjah celsius dan akan terasa bahangnya seperti 42 darjah celsius.
“Lazimnya kami penduduk di Perlis sudah biasa dengan cuaca panas namun kali ini bahang panas ini agak luar biasa,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Muhammad Aiman Izzudin Asri,25, berkata, berada di rumah juga seolah-olah seperti berada di luar memandangkan bahangnya cukup panas.
Ujarnya, cuaca pada kali ini lebih panas berbanding tahun lalu di mana sebelum ini meskipun panas namun masih berangin.
“Kesian juga dengan anak di rumah yang sentiasa berpeluh dan saya sentiasa membekalkan lebih banyak air masak untuk diminum,” katanya.






























