Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Hubungan kerjasama dalam beberapa aspek harus diteruskan termasuk menentang amalan rasuah dalam negara, walaupun terdapat kepentingan khas dibawa oleh pimpinan dewan perhimpunan Cina, Melayu dan Islam.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama dimaksudkan seperti hak asasi manusia, demokrasi dan kebebasan badan kehakiman yang memerlukan jalinan kerjasama semua pihak.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pengurusan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) atas kerjasama dan dukungan berterusan yang diberi kepada kerajaan dan dirinya, sejak beliau aktif dalam gerakan mahasiswa sehingga era reformasi pada 90-an.
“Kerjasama dengan dewan perhimpunan ini sangat luar biasa, pada tahun 80-an kita kumpul di sini, saya dilantik sebagai pengerusi gerakan menentang cadangan kerajaan ketika itu untuk pinda akta pertubuhan dan dewan ini beri kerjasama sangat baik.
“Setelah saya dibebaskan (dari penjara) berulang kali saya datang ke mari menemui rakan termasuk tenaga muda masyarakat Cina. Jadi, ini harus diteruskan walaupun ada beberapa kepentingan khas yang dibawa oleh pimpinan dewan perhimpunan Cina dan juga badan Melayu dan Islam lain.
“Tetapi, beberapa perkara yang saya sebutkan tadi harus diteruskan termasuk isu menentang rasuah dalam negara. Kita harus bersihkan imej negara demi melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran KLSCAH di Dewan KLSCAH, di sini kelmarin.
Selain itu, kata Anwar, pembangunan ekonomi dan menggalak pelaburan menjadi fokus kerajaan dalam mengembalikan status Malaysia sebagai negara disegani.
Katanya, bagi merealisasikannya, Kabinet menetapkan beberapa perkara dalam aspek pembangunan ekonomi untuk diberi penekanan dan dilaksana pada tahun ini, termasuk meningkatkan pelaburan dan mengembangkan keupayaan negara dalam semua bidang seperti pendidikan, kesihatan dan kebudayaan.
“Dengan kestabilan politik dan kerajaan Madani yang kukuh, kita mesti menumpukan kepada pembangunan ekonomi, meningkatkan pelaburan dan mengembangkan keupayaan kita dalam semua bidang.
“Bagi tahun ini, Kabinet sangat fokus untuk memastikan semua tumpuan itu dilaksana agar Malaysia kembali menjadi negara hebat dan disegani di rantau ini,” katanya.
Katanya, dengan kekuatan penyatuan setiap kaum di negara ini, beliau yakin semua pihak akan terus berperanan menjayakan hasrat meningkatkan kemajuan negara.
Dalam pada itu, Anwar berkata, hubungan Malaysia-China yang kini di tahap strategik dan membanggakan mampu membawa lebih banyak pelaburan ke negara ini.
“Kita gunakan sejarah panjang hubungan Malaysia-China untuk tunjukkan ia merupakan hubungan yang aman dan sekarang kita tumpu hubungan ekonomi.
“China antara negara utama yang melabur dalam sektor ekonomi di negara ini dan sekarang kita terus kembangkan hubungan itu meliputi bidang pendidikan, kebudayaan, kerjasama antara universiti serta dengan syarikat-syarikat besar negara terbabit,” katanya.
Turut mengiringi Anwar hari ini adalah Presiden KLSCAH, Ngan Teng Ye.
Hadir sama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chan Lih Kang; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong.
































