Tun Juhar (tengah) bersama Hajiji (tiga dari kiri), Liew (dua dari kiri) dan Safar (kiri) mengaul dan melambung Yee Sang.
KOTA KINABALU: Lebih 10,000 orang daripada semua lapisan masyarakat menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Kerajaan Negeri dan Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FCAS).
Majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini diserikan oleh Yang di-Pertuan Negeri (TYT), Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dan isteri, Datin Seri Datuk Juliah Salag.
Tun Juhar dan Hajiji bersama tetamu jemputan lain di atas pentas di Plaza SICC untuk gimik pelancaran.
Mereka disambut oleh pengerusi penganjur utama, Datuk Christina Liew yang merupakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta Menteri-menteri Kabinet yang lain.
Semasa ketibaan, tetamu-tetamu kehormat dan tetamu jemputan disambut dengan persembahan tarian singa dan replika Naga sepanjang 350 kaki di Plaza SICC.
Tun Juhar dan Hajiji disambut rakyat pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Kerajaan Negeri.
Di dewan utama, para hadirin dihiburkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan moden.