Lokman Jamaan memeriksa kenderaan berat dalam operasi itu di Plaza Tol Kemuning, Shah Alam, malam tadi.
SHAH ALAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menubuhkan satu pasukan khas bagi mengendalikan kes kenderaan berat melebihi had muatan di negara ini.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Kanan Penguatkuasanya, Datuk Lokman Jamaan berkata, pasukan yang ditubuhkan sejak enam bulan lalu itu susulan kenderaan berkenaan menjadi penyumbang kepada kemalangan jalan raya.
“Sepanjang tempoh itu, sebanyak 60 sitaan dibuat ke atas kenderaan berat yang melebihi 70 peratus daripada jumlah muatan dibenarkan.
“Kesemua kenderaan itu disita dan didakwa di mahkamah termasuk mendapatkan perintah lucut hak di mahkamah,” katanya ketika ditemui pada Ops Tahun Baru Cina di Plaza Tol Kemuning di sini, malam tadi.
Sepanjang operasi sejak 1 Februari lalu, sebanyak 243,257 kenderaan diperiksa dengan 57,110 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Jelas Lokman, sebanyak 378 kenderaan pengangkutan dikenakan notis saman manakala 14 lagi turut disita.
“Bagi kenderaan perdagangan, sebanyak 5,995 saman dikeluarkan dan sitaan melibatkan 199 kenderaan.
“Kesalahan teknikal paling tinggi iaitu 30 peratus atau 3,798 kes diikuti tiada lesen vokasional (1,765), Lesen Memandu Kompeten (1,536), Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh (1,542), tiada insurans (825), muatan bahaya (567) dan lebih muatan (353),” ujarnya.
Tambah beliau, operasi sehingga 29 Februari depan itu juga bertujuan mengesan mana-mana pemandu dan kenderaan yang mempunyai saman tertunggak.
































