Mazli Mazlan
KUALA TERENGGANU: Seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintenden dan anggota berpangkat Sarjan ditahan selepas disyaki menyamun seorang lelaki sehingga rugi RM5,150, Khamis lalu.
Penahanan pegawai dan anggota polis yang bertugas di sebuah ibu pejabat polis daerah (IPD) itu dibuat susulan satu laporan diterima pada 3 Februari di Balai Polis Gong Badak berkaitan jenayah samun.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, pengadu mendakwa telah dibawa oleh kedua-dua suspek ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) untuk mengeluarkan duit RM5,000.
Menurut beliau, siasatan pihak polis melalui pengecaman dan rekod kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kedua-dua suspek telah dikenal pasti sebagai pegawai kanan serta pegawai rendah polis.
“Suspek pertama berjaya ditangkap pada 3 Februari dan telah direman selama seminggu manakala suspek kedua yang ditangkap pada 4 Februari pula direman empat hari.
“Jumlah keseluruhan kerugian dialami mangsa berjumlah RM5,150 dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK) kerana samun,” katanya ketika dihubungi di sini, Selasa.
Mazli menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius penglibatan jenayah dalam kalangan pegawai dan anggotanya terutama di Kontinjen Terengganu.
Malah beliau memberi jaminan pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci terhadap suspek mengikut lunas undang-undang untuk dihadapkan ke mahkamah.
Terdahulu tular di media sosial satu laporan polis disyaki membabitkan pegawai dan anggota polis apabila mangsa mendakwa didatangi dua lelaki berpakaian preman menaiki kenderaan dengan logo PDRM.
Menerusi laporan yang tular itu juga, suspek didakwa meminta wang sebanyak RM20,000 bagi membersihkan nama mangsa yang dikatakan berada dalam senarai untuk dibuang daerah.
Mangsa bagaimapun hanya mengeluarkan RM5,000 di ATM di sebuah stesen minyak di Wakaf Tembesu, Kuala Nerus sebelum menyerahkan RM150 lagi kepada kedua-dua suspek.


































