Rafizi Ramli
PETALING JAYA: Kerajaan akan mempertimbangkan untuk membenarkan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) diakses dari luar negara bagi kepentingan rakyat terutamanya diaspora Malaysia.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, sebarang pertimbangan akan dibuat selepas kementeriannya mengambil kira penilaian risiko serangan siber setelah fasa satu nanti.
“Buat masa sekarang memang akses dari luar negara tidak dibenarkan sebagai langkah keselamatan.
“Kemudahan kemaskini dan verifikasi data ke dalam PADU akan diteruskan pada fasa kemaskini seterusnya, selepas fasa 1 yang berakhir 31 Mac 2024.
“Akses dari luar negara akan dipertimbangkan selepas kami mengambil kira cyber attack risk assessment selepas fasa 1 ini,” katanya menerusi hantaran di laman sosial.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap keluhan seorang pengguna yang tidak dapat mengakses sistem PADU dari luar negara, justeru mencadangkan sistem itu dibuka kepada luar.


































