PETALING JAYA: Seorang bekas perdana menteri antara individu yang akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah mendapatkan perolehan membekal dan mengurus fleet kenderaan kerajaan Malaysia bernilai RM4.5 billion.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, semua individu berkenaan adalah mereka yang terlibat dalam membuat keputusan memberikan kontrak mengendalikan perolehan dan pengurusan fleet kenderaan kerajaan itu.
Kata beliau, perjanjian kerajaan yang ditandatangani dengan syarikat terlibat telah dilakukan sejak 1990-an lagi.
“Mereka yang terlibat termasuk perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu akan dipanggil,” katanya di sini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan SPRM sedang menyiasat penglibatan individu tertentu dalam kerajaan berhubung dakwaan rasuah bagi mendapatkan perolehan membekal dan mengurus fleet kenderaan kerajaan.
Azam memberitahu Utusan Malaysia, siasatan SPRM ketika ini ditumpukan kepada bagaimana pemberian perolehan kontrak kerajaan itu kepada syarikat yang disiasat.
Ahad lalu, akhbar ini mendedahkan beberapa akaun persendirian milik seorang ahli
perniagaan bergelar Tan Sri yang dibekukan SPRM baru-baru ini melibatkan jumlah bernilai RM80 juta.
Semua akaun bank berkenaan berada di negara ini.
SPRM juga kini dalam proses mengesan aset-aset lain milik ahli perniagaan itu untuk siasatan lanjut berkaitan kontrak yang diberikan kepada sebuah syarikat pembekal kenderaan kerajaan.


































