Fahmi Fadzil pada sidang akhbar di Kementerian Komunikasi, Putrajaya.
PUTRAJAYA: Calon bagi Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-20 sudah dimukmadkan dan akan diumumkan sebelum sidang Dewan Negara yang bermula 18 Mac depan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Jemaah Menteri telah dimaklumkan mengenai perkara itu dan akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, jawatan Yang Dipertua Dewan Negara kosong susulan pelantikan Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
“Nama telah dicadangkan dan saya serah kepada Perdana Menteri untuk diumumkan tapi ia akan diumumkan pada pertengahan Mac ini.
“Kita sudah ada nama dan saya percaya akan diumum dalam masa terdekat. Saya tidak boleh menyebut lebih dari itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Wan Junaidi dilantik sebagai Yang Dipertua Sarawak kelapan berkuat kuasa 26 Januari lalu.
Dalam pada itu, Fahmi mengesahkan kementeriannya sudah mempunyai calon bagi jawatan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM).
Menurutnya, lantikan kepada jawatan tersebut sedang menunggu pengesahan beberapa dokumen.
“Kita akan umum dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media sama.
November tahun lalu, Dr Mohammad Agus Yusoff menghantar surat peletakan jawatan yang sepatutnya berkuat kuasa pada 15 November.
Pelantikan Mohammad Agus sebagai Ketua Pengarah J-KOM pada awal 2 Februari lalu menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak termasuk dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan.
































