Tengku Zafrul Aziz menyaksikan demonstrasi ujian selimut kebakaran dekat pekarangan pejabat SIRIM di Shah Alam, Selangor, kelmarin.
SHAH ALAM: Kerajaan bakal mewajibkan penyediaan selimut kebakaran bagi kenderaan elektrik (EV) kepada syarikat pengeluar kenderaan tersebut tidak lama lagi.
Ketetapan tersebut bakal dibuat untuk meningkatkan tahap keselamatan bagi penggunaan kenderaan mesra alam itu apabila bahan yang digunakan untuk menghasilkannya mampu membendung haba sehingga 1,000 darjah celcius.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz, bagaimanapun ketetapan tersebut tertakluk kepada hasil perbincangan pihaknya dengan Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Jawatankuasa EV.
“Hari ini saya menyaksikan demonstrasi penggunaan selimut kebakaran EV yang merupakan perkhidmatan terbaru SIRIM QAS International Sdn Bhd (SIRIM) untuk meningkatkan keselamatan kenderaan EV yang bakal memenuhi jalan raya di negara kita tidak lama lagi.
“SIRIM sudah melakukan ujian terhadap selimut kebakaran tersebut dan meluluskan penggunaannya yang akan menjadi mandatori bergantung kepada perbincangan dengan pihak KPKT tidak lama lagi,” katanya. selepas menyaksikan Demonstrasi Penggunaan Selimut Kebakaran EV oleh SIRIM dan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM), kelmarin.
Beliau menambah, produk keselamatan tersebut ketika ini diwajibkan untuk dimiliki oleh operator stesen pengecas EV sahaja, namun berharap untuk dikuatkuasakan pada masa depan kepada rumah pemilik EV, pejabat swasta dan kerajaan.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul menjelaskan, penggunaan peralatan keselamatan tersebut adalah komitmen kerajaan untuk menjadikannya sebagai langkah merangka garis panduan keselamatan bagi penggunaan kenderaan EV seperti saranan oleh KPKT.
“Kita di MITI juga akan memastikan produk keselamatan ini ada di pasaran dan menepati syarat-syarat dan piawaian yang ditetapkan oleh SIRIM. Apa yang penting, manfaat Selimut Kebakaran EV ini bukan hanya mampu mengawal kebakaran tetapi menghalang pelepasan gas toksik seperti disaksikan dalam demonstrasi tadi,” ujarnya.
“SIRIM dalam proses untuk merangka piawaian keselamatan selimut kebakaran untuk industri bagi membolehkan garis panduan tersebut digunapakai oleh pihak pelabuhan dan pengendali logistik membabitkan kenderaan jenis tersebut.
Katanya lagi, kos satu unit Selimut Kebakaran EV adalah sekitar RM4,800 hingga RM5,000, namun apa yang lebih ditekankan pihaknya kesemua jenis produk tersebut wajib diluluskan oleh SIRIM.
































