Kobbie Mainoo menjaringkan gol kemenangan Manchester United ketika perlawanan terikat 3-3 dengan Wolves dalam saingan Liga Perdana Inggeris, semalam.
LONDON: Pengendali Manchester United, Erik Ten Hag menghamburkan pujian kepada bintang muda mereka, Kobbie Mainoo yang muncul wira kemenangan 4-3 ke atas Wolves, semalam.
Mainoo muncul wira United apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-97 bagi memastikan Wolves kecundang di depan penyokong sendiri biarpun hampir meraih satu mata..
Menurut Utusan Malaysia, United mendahului dua gol menerusi Marcus Rashford, beberapa hari selepas didenda kerana tidak hadir latihan seolah-olah membayangkan pasukan itu bakal melakar kemenangan besar ke atas tuan rumah.
Begitupun Wolves yang meraih penalti berjaya merapatkan jurang hasil ledakan Pablo Sarabia sebelum United terus mendahului dengan kelebihan dua gol.
Max Kilman dan Pedro kemudiannya mengikat kedudukan 3-3, namun Mainoo muncul tepat pada waktunya dengan gol keempat untuk menghadiahkan mata penuh buat The Red Devils.
“Dia (Mainoo) menampilkan kemajuan yang luar biasa. Dia mempunyai kebolehan yang hebat. Dia adalah pemain tengah moden, boleh menyerang dan bertahan selain mempunyai kecerdasan untuk melakukan kedua-duanya dan fizikal.
“Satu keberuntungan untuk kami menang dalam perlawanan ini, kami bermain dengan sangat baik dan menentukan permainan dalam tempoh sejam. Kami sepatutnya menjadikan kedudukan 4-0, namun gagal.
“Kami tidak melakukannya dengan baik dan akhirnya ia agak naif dalam cara kami melepaskan gol. Kami kemudian menunjukkan ketabahan, terutamanya menerusi Mainoo,” kata Ten Haq.
Untuk rekod, Wolves sudah menewaskan Manchester City, Tottenham dan Chelsea di Stadium Molineux musim ini dan hampir berjaya mengulanginya ke atas United dengan kebangkitan di babak kedua.
Hasil kemenangan itu, United kini mengumpul 35 mata daripada 22 aksi liga untuk berada di tangga ketujuh manakala Wolves di posisi 11 dengan 29 mata.
































