Fadhlina Sidek bergambar bersama ahli Parlimen dan ADUN serta guru selepas majlis penyerahan cek cura BAP Peringkat Negeri Selangor di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaaan Yu Hua, Kajang, hari ini.
KAJANG: Ibu bapa diminta segera melaporkan kepada Kementerian Pendidikan sekiranya tidak menerima secara penuh Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, jumlah BAP tidak boleh dipotong oleh mana-mana pihak dan ia mesti sampai ke tangan ibu bapa dalam jumlah yang diberikan oleh kerajaan.
“Sekiranya terdapat pemotongan BAP, segera laporkan kepada KPM secara langsung untuk disiasat dan jumlah itu akan dikembalikan mengikut jumlah penuh,” katanya.
Beliau berkata dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan cek cura BAP Peringkat Negeri Selangor di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaaan Yu Hua, di sini hari ini.
Menurut beliau, sumbangan BAP tersebut bertujuan meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan persiapan persekolahan anak-anak nanti.
Dalam perkembangan sama, Fadhlina berkata, pihak sekolah perlu adakan perbincangan mengenai majlis graduasi sekolah bersama pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
“Asas kepada graduasi ini adalah konsultasi dengan ibu bapa dan PIBG kerana ia sangat penting. Jadi perlu diselesaikan terlebih dahulu di peringkat sekolah.
“Sekiranya terdapat bantahan perlu juga diambil pandangan. Kita galakkan majlis yang sederhana tetapi meriah dan penuh penghargaan khususnya kepada murid sekolah.
“Yang penting majlis itu dilaksanakan dengan penuh kesederhanaan untuk meraikan semua,” katanya.


































