Masiung (kiri) melayan penduduk pada Majlis Amanat ADUN Kuamut.
TONGOD: Pemimpin masyarakat di Tongod yang terbukti tidak tulus menjalankan amanah akan berdepan tindakan penggantungan tugas termasuk pemecatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah barkata, beliau tidak akan berlembut jika terdapat bukti kukuh ada pemimpin terbabit menyalahgunakan kedudukan untuk tujuan peribadi.
“Begitu juga dengan pegawai dan kakitangan kerajaan yang kurang memberi kerjasama kepada orang awam ketika berurusan, harus diambil tindakan tatatertib.
“Walaupun belum ada laporan pegawai kerajaan selalu tidak hadir ke pejabat tanpa cuti, namun peringatan ini harus diberikan perhatian,” katanya ketika merasmikan majlis Amanat ADUN di Dewan Majlis Daerah Tongod, di sini, kelmarin.
Masiung berkata, langkah drastik kepada pemimpin dan anggota perkhidmatan awam adalah wajar bagi meningkatkan tadbir urus di semua peringkat.
Menurutnya, tahun 2024 harus dijadikan platform semua penjawat awam termasuk Ahli Majlis Daerah di Tongod untuk
mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
Beliau mengingatkan penjawat awam supaya tidak terlibat sebarang aktiviti yang menyebabkan ketirisan.
“Kita tidak akan berkompromi kepada mana-mana pimpinan masyarakat atau pegawai kerajaan yang terbukti terlibat dalam aktiviti yang menyebabkan berlakunya ketirisan,” katanya.
Acara perpisahan turut diadakan untuk Penolong Pegawai Daerah (ADO) Tongod, Cleophas John Gordon yang akan bertukar dan memulakan tugas baharu di Jabatan Ketua Menteri.
Cleophas digantikan oleh Ronley Saringan yang telah melapor diri awal Januari lalu.
Majlis dihadiri oleh Pegawai Daerah Tongod, Nelson Domil Oluk bersama 250 orang pegawai kerajaan dan pemimpin masyarakat.


































