Upacara Menaikkan Bendera Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU: Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berhasrat untuk menjadikan pejabat Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sebagai sebuah jabatan yang paling disukai orang awam untuk menjalankan urusan seharian mereka.
Beliau berkata, DBKK merupakan pintu gerbang utama bagi warga bandaraya dalam urusan-urusan penting seperti perizinan, perancangan bandar, penyelenggaraan jalan raya, pengurusan sisa pepejal dan sebagainya.
Justeru itu, katanya, adalah penting untuk memastikan pengalaman orang awam yang berurusan dengan DBKK adalah positif, mudah dan efisien.

Dr. Sabin berucap pada Upacara Menaikkan Bendera dan Istiadat Perbarisan Sempena Ulang Tahun Bandaraya Kota Kinabalu Ke-24.
“Kami akan berusaha untuk menjadi lebih telus, responsif dan berinovatif dalam menyediakan perkhidmatan. Kami akan memastikan bahawa proses perizinan dan permohonan adalah mudah dan cepat.
“Kami juga akan menggalakkan penggunaan teknologi untuk mempermudahkan urusan dengan DBKK, seperti melalui platform digital serta aplikasi mudah alih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Upacara Menaikkan Bendera dan Istiadat Perbarisan Sempena Ulang Tahun Bandaraya Kota Kinabalu Ke-24, di Padang Merdeka, di sini, hari ini.
Dr. Sabin berkata, dalam tempoh 24 tahun sejak mendapat status bandar raya, pelbagai kejayaan luar biasa yang telah dikecapi, seperti berjaya meningkatkan kemudahan infrastruktur bandar, meningkatkan perkhidmatan awam dan membangunkan taman dan landskap yang menarik.
Namun, tegasnya, usaha ini tidak boleh berhenti di sini dan perlu diteruskan demi mencapai kecemerlangan dan inovasi dalam setiap aspek kerja selain menghadapi cabaran yang datang bersama dengan pekembangan bandar yang pesat.
“Sebagai Mayor Bandaraya, saya mengambil tanggungjawab ini dengan lebih serius dan saya komited untuk melaksanakan perubahan yang diperlukan demi kebaikan warga bandaraya.
“Saya ingin mengundang setiap warga bandaraya untuk memberikan pendapat, cadangan dan maklum balas bagi membantu saya dan pengurusan tertinggi DBKK meningkatkan perkhidmatan,” katanya lagi.


































