Tangkap layar video tular mendakwa seorang anggota polis mengambil bayaran daripada seorang pelancong asing kerana tidak memakai topi keledar di Langkawi.
LANGKAWI: Polis sedang menyiasat satu lagi video tular di media sosial yang menunjukkan anggotanya didakwa menerima bayaran RM100 bagi menyelesaikan saman yang dikeluarkan terhadap seorang pelancong asing.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat mengenai insiden itu yang memaparkan pelancong itu dipercayai melakukan kesalahan kerana tidak memakai topi keledar.
“Pihak polis sedang mengumpulkan maklumat mengenai butiran kejadian tersebut yang mana video asalnya dimuat naik ke dalam Youtube pada 10 November 2023.
“Kita tidak akan melindungi mana-mana individu yang terlibat dan tindakan tegas akan diambil ke atas mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin.
Beliau turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai perkara ini diminta tampil untuk membantu siasatan.
Pada Isnin, tular rakaman video yang mendakwa terdapat anggota yang menerima bayaran RM100 daripada pelancong warganegara Australia kerana tidak memakai topi keledar semasa menunggang motosikal di Langkawi.
Anggota polis tersebut didakwa telah menahan pelancong tersebut dan menyatakan dia perlu membayar saman tersebut serta-merta kerana bukan warganegara dan perlu ke balai polis untuk mendapatkan resit bayaran.
Pelancong itu kemudian bertanya kepada anggota tersebut adakah bayaran RM100 itu tidak mengapa sebelum mendakwa pergi ke lorong belakang untuk membayar amaun tersebut.
Kelmarin, tiga anggota polis trafik direman bagi membantu siasatan kes video tular yang menawarkan bayaran RM100 terhadap pempengaruh media sosial dari United Kingdom (UK) bagi menyelesaikan saman kesalahan trafik.


































