Redonah (duduk, tengah) bersama Viola dan ahli-ahli jawatankuasa Wanita Gagasan Rakyat Moyog.
PENAMPANG: Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda yakin rakyat akan terus memberi sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pilihan raya akan datang.
Menurut beliau, meskipun Kerajaan Negeri sudah berubah parti pemerintah, namun rakyat faham bahawa GRS adalah parti terbaik pada masa ini untuk masa depan dan kesejahteraan rakyat.
“Kita yakin dengan pengalaman yang ada, kita mampu menarik para pengundi untuk kekal bersama kita di bawah pimpinan GRS.
“Pemimpin kita, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menubuhkan parti ini berasaskan perjuangan negeri Sabah. Ini membolehkan kita lebih mudah memperjuangkan hak-hak kita,” katanya pada majlis siri Jelajah Pergerakan Wanita GRS Bahagian Moyog, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Wanita GRS Moyog, Viola Dompok; Penolong Setiausaha, Floriska Francis; Penolong Bendahari, Betty Jamit; Ketua Penerangan, Brinda Aaron serta ahli jawatankuasa Wanita Gagasan Rakyat Moyog.
Redonah berkata, pengundi wanita khususnya di DUN Moyog juga pada masa kini tidak mempunyai masalah untuk terus kekal bersama-sama GRS dan menyokong segala dasar yang dilaksanakan.
“Kita menubuhkan GRS supaya kuasa yang ada benar-benar dapat dimanfaatkan untuk mengembalikan hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam perjanjian sebelum ini.

Redonah melawat keluarga mangsa kebakaran di di Kampung Timpoluon Babagon.
“Banyak hak-hak kita dinafikan sebelum ini, sekarang Hajiji mahu meletakkan Sabah balik kepada konsep Sabah seperti Sabah Maju Jaya kerana itulah semangat yang perlu kita ada,” tegas beliau.
Beliau berkata, masih banyak perjuangan yang perlu dilakukan oleh kepimpinan Kerajaan Negeri seperti menyediakan kemudahan asas jalan raya dan bekalan air bersih.
“Masih banyak kawasan di kampung-kampung yang ada masalah, bekalan elektrik kerap terputus dan sebagainya. Kita kena selesaikan agar rakyat dapat merasaikan perubahan dan akhirnya mampu memberi keselesaan kepada mereka,” tambah beliau.
Beliau turut menggesa ketua-ketua cawangan dan ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) supaya mengemas kini data maklumat pengundi di kawasan PDM masing-masing.
Katanya, adalah penting bagi Wanita GRS melaksanakan gerak kerja dari awal dan diperkukuhkan sampai bila-bila agar rakyat dapat memahami bahawa kerajaan GRS bukan sekadar parti memerintah tetapi parti yang berkhidmat kepada rakyat.
Redonah yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah memberitahu Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) akan datang pastinya medan tempur yang paling sengit kepada semua.
“Setiap daripada kita mempunyai tanggungjawab paling besar dalam memastikan kemenangan GRS.
“Oleh itu, setiap Wanita cawangan perlu bergerak dari awal bagi menambah keahlian kerana ini adalah nadi kemenangan kita pada pilihan raya akan datang,” ujarnya.
Sementara itu, Redonah turut melawat keluarga mangsa kebakaran di Babagon, di sini, yang melibatkan enam buah rumah lapan keluarga di Kampung Timpoluon Babagon, Kilometer 21, Jalan Tambunan. Kebakaran berlaku Jumaat lepas (19 Januari lalu).


































