PETALING JAYA: Hanya ketawa tatkala berdepan dakwaan memakai susuk, pelakon, Nadia Brian menafikan dakwaan dia mengamalkan susuk selepas memuat naik video rawatan akupuntur di media sosialnya.
Menurut Utusan Malaysia, Nadia berkata, dia belum hilang akal sehingga sanggup mengamalkan perbuatan syirik dan mengumpul dosa semata-mata untuk menarik perhatian umum.
“Kadang-kadang saya kelakar dengan komen netizen. Itu kan rawatan akupuntur, macam mna boleh disalah anggap pakai susuk? Kalau nak cakap salah faham, pun tidak logik juga. Entahlah, ada sahaja salah.
“Saya sendiri tidak tahu susuk itu bagaimana. Sekadar tengok di filem sahaja. Itu kan perbuatan haram dan syirik. Tak mungkinlah kan. Saya tak tahu pula masih ada yang mengamalkan susuk sekarang ini?” katanya.
Nadia dalam pada masa sama hairan mengapa wujud segelintir pihak yang sengaja menyebarkan fitnah tidak benar yang boleh menimbulkan persepsi yang tidak baik terhadap dirinya.
“Itulah, kalau nak cakap dia salah faham atau tidak tahu apa itu akupuntur pun tak perlulah sebar fitnah sebegitu. Kadang-kadang komen sebegitu boleh timbulkan pelbagai fitnah lain yang memburukkan nama saya.
“Berhentilah sebarkan cerita yang tidak benar. Memang sengaja ke nak sebar fitnah? Sudah-sudahlah bagi ideologi negatif. 2024 dah kan? Kita berbahagia dengan hidup sendiri sahaja.
“Tak perlu sebar api kebencian. Tidak kisahlah selebriti atau tidak, jangan jadi batu api. Tak takut ke?” ujarnya.