Jenddy (kiri) menyampaikan sijil corporate social responsibility kepada seorang penerima.
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) sentiasa komited dalam membudayakan masyarakat prihatin dan bertanggungjawab dengan merakyatkan perkhidmatan cemerlang ke arah kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.
Menterinya, Datuk James Ratib berkata, inisiatif seperti anugerah Consumers’ Choice Award dianjurkan Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Sabah diharap dapat menggalakkan para peniaga dan usahawan tempatan untuk terus memberikan komitmen dan daya usaha bagi mempertingkatkan produktiviti dan mutu perkhidmatan yang berkualiti tinggi.
Ini sekali gus menjadikan perkhidmatan para peniaga kekal sebagai perkhidmatan yang relevan dan diyakini oleh pengguna, serta menepati kehendak dan ekspektasi mereka, tambahnya.
“Pengiktirafan ini juga seharusnya mewujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan semua usahawan tempatan untuk membuktikan keupayaan masing-masing bagi menghasilkan perkhidmatan pengguna yang terbaik,” katanya pada Majlis Anugerah Consumers Choice Award bertemakan ‘Hidden Gem’ yang diadakan di Magellan Sutera Harbour di sini semalam. Teks ucapannyq dibacakan oleh oleh Setiausaha Politik beliau, Jenddy Datuk Sanggau.
Mwngucapkan tahniah dan syabas kepada 40 pengusaha dan peniaga cemerlang yang telah dipilih sebagai penerima Anugerah Consumers’ Choice Award tahun ini selepas berjaya melepasi standard penilaian audit yang ketat dan tegas, James yakin kemenangan mereka akan memberi impak positif dalam memperbaiki mutu kehidupan seharian masyarakat.
“Semoga kemenangan ini membawa keseimbangan ekonomi dan sosial yang lebih baik di negara kita.
“Semoga melalui pengiktirafan ini, keistimewaan dan keunikan Sabah dapat lebih dihargai dan dikenali oleh masyarakat dengan lebih luas,” katanya.
Beliau berkata, bagi pihak Kementerian, beliau sentiasa menghargai pengorbanan dan usaha semua yang komited dalam melakari dan menyelusuri kecemerlangan perkhidmatan dalam bidang masing-masing demi kejayaan diri, organisasi, bangsa dan negara.
“Semoga dengan pengiktirafan ini akan membangkitkan lagi semangat mencurahkan bakti kepada negara dan meningkatkan azam untuk berusaha dengan lebih gigih dan penuh iltizam pada masa akan datang bagi menaikkan imej masing-masing di peringkat Kebangsaan mahupun di peringkat global.
“Jadikanlah anugerah ini sebagai titik tolak untuk terus memacu pencapaian perniagaan serta perkhidmatan pelanggan dengan lebih terkemuka setanding dengan pencapaian di negara-negara maju,” ujarnya.
Beliau juga berharap 40 penerima anugerah tersebut seharusnya menjadi role model kepada yang lain untuk terus berusaha dengan gigih agar matlamat yang disasarkan tercapai.
James berkata, berdasarkan kajian yang dibuat oleh MTPN melalui aduan-aduan pengguna, kebanyakkan pengguna mempunyai masalah dengan peniaga yang tidak mengikuti kehendak dan kepuasan mereka dan mereka tidak tahu hak-hak mereka sebagai pengguna.
“Jadi dengan adanya program sebegini mampu membantu pengguna memilih perkhidmatan yang terbaik.
“Perkhidmatan yang sentiasa dekat dengan pengguna perlu dilihat sebagai satu perkhidmatan yang sentiasa menjadikan integriti sebagai teras utama dalam setiap praktisnya. Sehubungan itu, budaya kerja yang menggabungkan disiplin, tanggungjawab, integriti dan kebertanggungjawaban serta menjaga kerahsiaan perlu menjadi jati diri setiap peniaga dalam menjalankan urus niaga harian.
“Saya percaya semua usahawan dan peniaga yang berada di sini malam ini telah bersedia untuk melonjakkan keupayaan bagi mencatatkan lebih banyak kejayaan dalam meneruskan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan dan berupaya membawa satu perubahan yang besar kepada negara dan seterusnya menjadi enjin yang memacu ekonomi tempatan kita dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.


































