Yahya (depan,kiri) bertukar sijil MOU dengan wakil Pos Digicert.
KOTA KINABALU: Sabah negeri pertama mengeluarkan Sijil Nikah Digital kepada pasangan yang berkahwin di negeri ini.
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi merangkap Exco Agama dan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, sijil nikah tersebut diperkenalkan bertujuan memudahkan masyarakat dalam urusan kekeluargaan dan perkahwinan.
“Hari ini kita menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian antara Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) dan Pos Digicert Sdn Bhd iaitu syarikat pengendali Digitalisasi yang mengeluarkan Sijil Digital Perkahwinan bagi memudahkan masyarakat dalam urusan kekeluargaan dan perkahwinan.
“Digitalisasi urusan perkahwinan ini juga adalah antara usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam memperkasa ‘Kerajaan Digital’ di negeri Sabah seterusnya meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
“Sijil Nikah Digital merupakan sijil nikah secara elektronik atau dalam talian yang mempunyai ciri-ciri keselamatan berdasarkan pangkalan data perkahwinan negeri Sabah iaitu Secured QR Code, tandatangan digital ketua pendaftar perkahwinan, perceraian dan ruju’ serta mempunyai Cop Mohor Jheains,” katanya ketika ditemui media sempena Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Sijil Digital Perkahwinan di sini, pada Jumaat.
Beliau turut mencadangkan agar pengurusan digital dikembangkan ke pelbagai bidang seperti karya, masjid, imam dan lain-lain yang dirasakan boleh mempermudahkan dan memberi manfaat kepada umat islam negeri ini.
Turut hadir, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam, Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin berserta Timbalan, Datuk Malai Ali Malai Ahmad dan Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Sapawi Ahmad./






























