Batu Pahat: Satu rangka manusia termasuk tengkorak ditemui dalam sebuah rumah terbengkalai di Kampung Batu 7, Tongkang Pecah di sini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, rangka itu ditemui pada pukul 2 petang selepas dipandu seorang suspek.
Katanya, sebelum ini tiga suspek berkaitan kes kehilangan Mila Sharmila Samsusah, 32, atau Bella telah ditahan sebelum salah seorang daripadanya menunjukkan lokasi penemuan rangka manusia ini.
“Siasatan ke lokasi mendapati terdapat pakaian ditemui pada rangka terbabit.
“Bagaimanapun, pengesahan identiti mangsa hanya dapat dilakukan kira-kira dua minggu lagi,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi penemuan rangka manusia di Batu 7, Tongkang Pecah, kelmarin.
“Keluarga Bella sudah dimaklumkan mengenai perkara ini, namun kita belum dapat mengesahkan sama ada ia rangka milik wanita terbabit,” katanya.
Dengan penemuan rangka manusia itu, misteri kehilangan Bella sejak 14 Disember lalu dijangka bakal terungkai.
Sementara itu, keluarga Mira Sharmila Samsusah, 32, atau Bella berharap rangka manusia tidak sempurna yang ditemui di Kampung Batu 7 di Tongkang Pecah dekat sini bukan milik ibu tunggal itu selepas dilaporkan hilang sejak 14 Disember lalu.
Kakaknya, Norisham, 36, berkata, ketika dimaklumkan tentang penemuan rangka manusia itu petang tadi, gerak hatinya tetap mengatakan itu bukan Bella seperti yang ditularkan.
Katanya, jika rangka manusia itu adalah adiknya, mereka sekeluarga tetap reda dengan ketentuan Ilahi, namun mengharapkan hukuman setimpal kepada siapa sahaja yang melakukannya.
“Setakat ini, kami belum dimaklumkan tentang keputusan penemuan rangka manusia ini, bagaimanapun ujian asid deoksiribonukleik (DNA) saya dan ibu sudah diambil untuk simpanan pihak polis kira-kira dua minggu lepas.
“Saya amat berharap rangka manusia itu bukan Bella,” katanya ketika ditemui di tapak lokasi penemuan kelmarin
Menurut Norisham lagi, diharapkan keputusan DNA dapat diketahui dalam kadar segera bagi menamatkan penantian ini.


































