Shahelmey Yahya
KOTA KINABALU: Jalan Magandai di Kota Marudu yang ditularkan di media sosial sekarang ini adalah sedang dalam fasa pembinaan, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.
Jalan sepanjang 40 kilometer tersebut bermula dari simpang menuju ke Kampung Tondig sehingga ke Sekolah Kebangsaan Magandai, Kota Marudu, katanya dalam kenyataan hari ini.
“Pihak kontraktor juga memaklumkan bahawa jentera mereka ada di tapak pembinaan dan juga dihantar ke (CH19+000- CH40+000) kawasan yang kerap berlaku kerosakan bagi tujuan membuat kerja-kerja penyelenggaraan.
“Namun demikian, berikutan dari keadaan cuaca dengan hujan berterusan telah mengakibatkan struktur tanah menjadi lembut dan menyukarkan kerja-kerja pembinaan dan selenggaraan,” kata Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri III.
Walaupun berdepan cabaran tersebut, katanya, pihak kontraktor memaklumkan bahawa jentera mereka sentiasa berada di kawasan untuk membantu penduduk di kawasan tersebut.


































