Masiung Banah
KOTA KINABALU; Penguatkuasaan tegas perlu diambil oleh agensi yang berkenaan ke atas koloni setinggan di sekitar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menyumbang kepada masalah air di institusi pengajian tinggi itu, kata Datuk Masiung Banah.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu berkata, masalah air di UMS tidak akan berakhir selagi wujud penyambungan haram besar-besaran di perkampungan setinggan itu.
Selain itu katanya, penghuni flat rumah kos rendah milik LPPB di Taman Jaya Diri, Bukit Setia di Sepanggar dan Taman Sri Warisan di Inanam Laut juga merungut kerana seringkali mengalami gangguan bekalan air selain tekanan air amat tendah.
“Walaupun Kementerian Kerja Raya Sabah memberi jaminan masalah air di UMS akan selesai setelah Loji Rawatan Air Telibong II siap hujung Januari ini, namun UMS akan menerima telanan air lebih rendah akibat terlalu banyak penyambungan haram oleh koloni setinggan.
“Inisiatif MyJANS yang diperkenalkan Kerajaan tidak banyak mengubah keadaan kerana penduduk setinggan terutama warga asing sudah terbiasa menikmati air dan elektrik secara percuma hasil daripada penyambungan haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khamis lalu, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) melancarkan aplikasi MyJANS, di mana pengguna boleh mengakses bekalan air secara dalam talian.
Masiung berkata, aplakasi MyJANS yang dilancarakan JANS pada minggu lalu memang inisiatif baik, tetapi penyambungan haram tetap akan berlaku.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu mengesa agensi berkaitan terutamanya JANS agar menjalankan operasi penguatkuasaan besar-besaran secara berjadual di kawasan setinggan dan kilang-kilang.
Baru-baru ini Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, kewujudan koloni setinggan dianggarkan 12,000 rumah dipercayai menjadi penyumbang kepada masalah bekalan air di universiti terbesar di Sabah itu.
Kerajaan Negeri mengalamai kerugian 18 juta liter air sehari (MLD) akibat tindakan penyambungan haram.
Beliau berharap operasi penguatkuasaan agensi berkaitan tidak hanya melibatkan bekalan air tetapi turut menjalankan operasi terhadap penyambungan elektrik haram di kawasan setinggan.


































