KOTA KINABALU: Sebanyak tujuh kes baharu demam campak dilaporkan di Penampang setakat minggu lalu.
Tahun lalu, sebanyak 45 kes demam campak dilaporkan.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Asits Sanna berkata, sebanyak 65 peratus daripada 52 kes di Penampang ini melibatkan bukan warganegara di mana julat umur kes tertinggi adalah di antara 7 hingga 17 tahun (46 peratus) diikuti dengan 2 hingga 6 tahun (23 peratus).
“Kebanyakan kes iaitu 87 peratus tidak pernah menerima imunisasi measles,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Asits berkata, sepanjang tempoh itu juga (2023 hingga minggu lalu), sebanyak 27 lokaliti telah melaporkan kes demam campak di mana enam lokaliti tertinggi adalah di Kg. Kobusak (8 kes), Kg. Tunoh (5 kes), Community Learning Centre (CLC) Cerdas, Kg. Limbanak (4 kes), Kg. Lembah Impian (4 kes), Kg.Tuavon (4 kes) dan Kg. Kolopis (4 kes).
“Kebanyakkan kes melaporkan gejala pada minggu epidemiologi ke-48 sehingga ke-52 pada tahun 2023. Satu wabak demam campak dilaporkan di Kg. Limbanak yang melibatkan 37 kes di mana terdapat kaitan epidemiologi di antara kes-kes ini dengan kes-kes yang dilaporkan di lokaliti-lokaliti lain yang terlibat.
“Kebanyakan kes telah pulih dan hanya terdapat satu kes sahaja yang mempunyai sejarah dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. Walau bagaimanapun kes tersebut telah pulih dan telah di discaj,” jelasnya.
Katanya, bagi membendung penularan kes demam campak dalam kalangan masyarakat, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah melalui Pejabat Kesihatan Kawasan Penampang giat menjalankan aktiviti kawalan. Ini termasuklah penyiasatan kes yang menyeluruh termasuk siasatan epidemiologi, siasatan makmal dan siasatan persekitaran.
“Aktiviti pemberian imunisasi bersasar kepada kanak-kanak di lokaliti terlibat merupakan antara aktiviti kawalan utama yang sedang dilaksanakan. Selain daripada itu, aktiviti promosi kesihatan juga sedang giat dijalankan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan imunisasi dan langkah-langkah pencegahan measles,” katanya.
Demam campak adalah penyakit cegahan vaksin yang disebabkan oleh virus campak. Penyakit ini sangat mudah menular kepada orang lain melalui udara dengan titisan (droplet) cecair daripada mulut dan hidung semasa bercakap, batuk atau bersin. Jangkitan demam campak dalam komuniti boleh dicegah dengan memastikan liputan imunisasi demam campak sentiasa melebihi 95 peratus pada setiap masa. Liputan imunisasi yang tinggi ini dapat memberikan perlindungan kepada komuniti melalui kesan imuniti kelompok (herd immunity).
“Justeru, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak mereka mendapatkan immunisasi campak yang lengkap mengikut jadual yang ditetapkan.
“Di Sabah, imunisasi campak diberikan pada usia 6 bulan, 9 bulan dan kemudian ketika berumur 1 tahun. Perkhidmatan imunisasi bagi kanak-kanak ini boleh diperolehi di fasiliti kesihatan Kerajaan dan swasta,” katanya.
Beliau turut menasihati individu yang bergejala untuk sentiasa mengamalkan adab batuk dan bersin iaitu menutup mulut serta mencuci tangan selepas batuk bagi mencegah penularan jangkitan campak kepada orang lain.
“Segeralah mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala demam campak,” katanya.


































