Keadaan kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu. – Ihsan IPD Penampang
PENAMPANG: Seorang lelaki warga asing berusia 30 maut selepas pacuan empat roda dipandunya melanggar belakang sebuah motokar lalu menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabas di Putatan, dekat sini, pagi tadi.
Pemandu motokar iaitu lelaki warga tempatan, juga berusia 30 tahun hanya mengalami cedera ringan.
Kedua-dua kenderaan sedang menuju ke arah Kota Kinabalu apabila kejadian itu berlaku di Jalan Papar – Kota Kinabalu, berhampiran lampu isyarat simpang Klinik Kesihatan Putatan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menerima maklumat awam mengenai kes kemalangan itu pada jam 5.05 pagi.
Beliau berkata, hasil siasatan awal pihak polis di lokasi kejadian mendapati kedua-dua kenderaan datang dari arah yang sama menuju ke arah Kota Kinabalu melalui Jalan Papar – Kota Kinabalu dan secara tiba-tiba kenderaan pacuan empat roda itu telah melanggar motokar dari arah belakang sehingga kedua-duanya terbabas ke arah kiri bahu jalan.
“Akibat daripada pelanggaran tersebut, pemandu kenderaan pacuan empat roda iaitu seorang lelaki warga asing berusia 30 tahun telah tersepit dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth (QEH) I, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat.
“Manakala pemandu motokar iaitu seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun telah mengalami cedera ringan dan dibawa ke QEH I untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Aakta Pengangkutan Jalan 1987, katanya, sambil meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan.
Beliau juga menasihati orang awam supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya dan meminta agar tidak menularkan sebarang imej atau klip video tempat kejadian di rangkaian media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.


































