Kereta yang ditemukan mayat seorang lelaki di dalamnya di Jalan Pasir Puteh, Ipoh kelmarin.
IPOH: Mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan busuk dan berulat dalam sebuah kereta di premis menjual kenderaan terpakai di Jalan Pasir Puteh, di sini kelmarin.
Lelaki yang belum dikenal pasti identitinya itu dijumpa dalam keadaan terbaring di tempat duduk belakang sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna hitam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, maklumat penemuan mayat itu diterima pada pukul 11.51 pagi.
Katanya, ketika ditemui, pintu kenderaan itu dalam keadaan berkunci dari dalam.
“Mayat mangsa yang telah membusuk dan berulat itu ditemui masih lengkap berpakaian. Pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah.
“Pemeriksaan pada badan lelaki itu tidak dapat dilakukan kerana keadaan si mati telah hitam dan berulat,” katanya di sini kelmarin
Menurut beliau, mayat lelaki itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mengambil cap jari bagi tujuan mengenal pasti identitinya.
“Bedah siasat akan dijalankan pada Isnin ini. Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.


































