Hajiji mempengerusikan mesyuarat pertama pasca kabinet Jabatan Ketua Menteri tahun ini.
KOTA KINABALU: Kabinet Negeri bersetuju menubuhkan pasukan petugas bagi memantau isu air dan elektrik di Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Pasukan petugas yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong akan bermesyuarat seminggu sekali atau setiap dua minggu untuk meneliti semua isu berkaitan bekalan air dan elektrik,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet Jabatan Ketua Menteri di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Ketua Menteri berkata, Kabinet Negeri juga telah mengarahkan semua ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Negeri mengelak daripada mengumumkan atau mengeluarkan kenyataan mengenai projek pembangunan tanpa sebarang lampu hijau daripada Kabinet.
Beliau berkata, semua GLC Negeri dikehendaki merujuk kepada menteri masing-masing atau Kabinet Negeri sebelum membuat sebarang perjanjian bagi mengelak komplikasi pada masa hadapan.
“Kabinet memandang serius perkara ini,” katanya.

Hajiji bersalaman dengan Abidin dan ahli-ahli mesyuarat yang lain.
Dalam ucapannya, Ketua Menteri menyatakan bahawa beberapa pencapaian, terutamanya mengambil alih kuasa kawal selia ke atas bekalan kuasa oleh Kerajaan Negeri daripada Kerajaan Persekutuan.
Beliau turut mengiktiraf prestasi kukuh anak syarikat Kerajaan Negeri yang baru ditubuhkan, SMJ Energy Sdn Bhd.
Beliau mendedahkan bahawa SMJ Energy Sdn Bhd telah pun membayar pinjaman RM50 juta kepada Kerajaan Negeri dalam tempoh kurang setahun penubuhannya.
“Daripada syarikat aset sifar, ia mempunyai lebih daripada RM5 bilion aset pada Disember 2023,” katanya, sambil menambah bahawa SMJ Energy juga telah berjaya menerbitkan sukuk wakalah RM900 juta di bawah program sukuk wakalah dalam pelbagai mata wang syarikat sehingga RM10 bilion dalam nilai nominal tahun lepas.

Hajiji bersalaman dengan beberapa orang ketua jabatan di bawah Jabatan Ketua Menteri.
Kejayaan lain di bawah kendalian SMJ Energy ialah pengambilalihan 50 peratus ekuiti dalam pengeluaran medan minyak Samarang, 25 peratus kepentingan dalam Samur dan loji LNG berhampiran pantai di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
Hadir tiga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Datuk Haji Ruslan Muharam, Safar, Peguam Besar Negeri, Datuk Nor Asiah Mohd. Yusof, Mayor Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah dan ketua-ketua jabatan.


































