Dr Mohd Arifin (kiri) menerima cenderamata daripada Hanafiah.
KOTA KINABALU: Seramai 100 ribu pengunjung telah direkodkan dalam Mobile Exhibition “Experiencing Science: Enlightening Innovation” setakat Disember 2023,
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata program kembara pameran sains interaktif itu dilaksanakan bagi tempoh tiga tahun mulai September lalu hingga Ogos 2026 di 13 buah daerah termasuk Kota Kinabalu dan Pusat UScience Universiti Malaysia Sabah.
“KSTI mempunyai beberapa perancangan untuk memperkasakan tanggungjawab dengan lebih agresif bagi menyahut cabaran dunia dengan pergerakan perubahan industri dan keperluan Pendidikan seperti IR4.0 dan melahirkan warga Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang mencukupi di peringkat negeri dan negara menjelang tahun 2030,” ujarnya.
Berucap pada Majlis Bersama Menteri KSTI Merangkap Exco Agama dan Exco Pendidikan di sini, pada Selasa, Dr Mohd Arifin menjelaskan kerajaan negeri akan terus melaksanakan beberapa program bantuan-bantuan pendidikan dalam usaha memperkasakan modal insan di negeri ini.
Antaranya, program bantuan-bantuan pendidikan bernilai RM44 juta diselaraskan oleh Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) dan ini merupakan salah satu agenda kerajaan negeri sebagai satu komponen “Sabah Maju Jaya” iaitu modal insan dan kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan akan meneruskan Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One Off (BUDI) untuk membiayai pendaftaran anak-anak ke IPT tahun ini, sebanyak RM 10 juta dengan sasaran seramai 5,000 orang pelajar.
“Begitu juga dengan Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) yang mensasarkan pelajar-pelajar Sabah di IPT dari golongan e-kasih dan B40 dengan peruntukan RM2 juta dengan sasaran 1,000 pelajar.
“Manakala, Bantuan Tunai Peperiksaan (BAKTI) berjumlah RM200 dikhususkan untuk para pelajar golongan B40 yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dengan jumlah RM8 juta.
“Selain itu, Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS) sebanyak RM2,000 dengan peruntukan RM3 juta melibatkan 1,500 sekolah di Sabah dan Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) berupa kelengkapan sekolah dengan peruntukan RM12 juta melibatkan 1,600 buah sekolah,” dedah beliau.
Tambah Dr Mohd Arifin, kerajaan negeri juga amat prihatin dan mengambil berat terhadap sekolah-sekolah yang memerlukan penyelenggaraan dan pembaikan kecil melalui Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS) dengan peruntukan sebanyak RM4 juta.
“Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2 juta melalui Bantuan Ihsan Tabung Pendidikan Negeri (BISTARI) sebanyak RM100 kepada setiap bayi yang baru lahir di negeri ini, yang dikreditkan terus ke akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
“Sebagai galakan kepada pelajar Sabah yang mengharumkan nama negeri ini di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, kerajaan juga meneruskan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA) dengan jumlah peruntukan sebanyak RM 100,000.

Arifin (tengah, berdiri) dan Ruslan (enam dari kiri, berdiri) merakamkan gambar kenangan bersama media.
“Bagi membantu pelaksanaan program-program yang dapat melonjakkan kemajuan dan kecemerlangan pendidikan melalui Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) di negeri ini, Kerajaan juga memperuntukan Bantuan Khas Pendidikan (BANTU) dengan jumlah sebanyak RM 300,000.
“Kerajaan juga menyediakan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi persatuan pelajar Sabah di IPT dalam melaksanakan program dan aktiviti dan bagi menggalakkan persatuan-persatuan mahasiswa Sabah supaya bernaung di bawah Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA),” katanya.
Hadir sama, Pembantu Menteri KSTI Datuk Harun Durabi, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam, Yang Dipertua MUIS Datuk Seri Yahya Hussin dan Timbalannya, Datuk Malai Ali Malai Ahmad, Pengerusi Perbadanan Baitulmal Sabah Datuk Dr. Omar Rasul As-Salam Syah Sulaiman Omar dan Setiausaha Tetap KSTI Datuk Hanafiah Md. Kassim.
Pada majlis berkenaan, Dr Mohd Arifin turut menyampaikan sijil penghargaan kepada agensi media sebagai penghargaan atas liputan berita berkaitan portfolio beliau sekali gus memberi gambaran baik terhadap pentadbiran kerajaan negeri termasuk Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran, Berita Harian, Daily Express, Utusan Borneo, Sabah Media, Kosmo dan sebagainya.
Turut disampaikan, bantuan pendidikan BAKTI kepada 35,000 pelajar yang menduduki peperiksaan tahun ini termasuk SPM kepada 27,771 orang, STPM (6,993 orang), STAM (29 orang), Diploma Vokasional Malaysia (207 orang) dan Sijil Vokasional Malaysia (sembilan orang).


































