Zahid ketika berucap merasmikan majlis Peluncuran Pembangunan Kedamaian Sempena Rumah Terbuka Sambutan Krismas Kedamaian 2023
KOTA BELUD: Pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) mampu memperkasakan ekonomi negara.
Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usahawan PMKS perlu dibangunkan merentasi kementerian dan agensi seluruh negara merangkumi bandar dan luar bandar.
“Dalam usaha untuk meningkatkan ekonomi, PMKS perlu dibangunkan untuk merangsang persaingan, menjana pekerjaan, menggalakkan permintaan domestik, peneraju bagi kemampanan dan pertumbuhan ekonomi seluruh negara termasuk Sabah.
“PMKS telah menyumbang 37.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), 11 peratus kepada eksport dan 47.8 peratus sektor pekerjaan negara mewakili 97 peratus daripada jumlah syarikat berdaftar negara ini, sumbangan pada tahun 2022 pula berjumlah RM580.4 billion atau 38.4 peratus dengan guna tenaga sebanyak 7.59 juta pekerja atau 48.2 peratus.
“Pencapaian tersebut merupakan manifestasi PMKS sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara untuk setanding dengan negara-negara maju seperti Jepun dan Jerman dengan sumbangan PMKS melebihi 50 peratus daripada KDNK negara tersebut.
“Ke arah itu, kerajaan Perpaduan sentiasa berusaha untuk merangsang lebih banyak penyertaan PMKS dalam sektor keusahawanan yang berdaya maju dan mapan menerusi pelbagai ikhtiar bagi memastikan sumbangan PMKS kepada KDNK dapat dipertingkat seterusnya merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia negara keusahawanan yang inklusif menjelang 2030,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Pembangunan Kedamaian Sempena Rumah Terbuka Sambutan Krismas Kedamaian 2023 di Kedamaian Square, pada Isnin.
Menurut Zahid juga, Kerajaan Perpaduan beriltizam memperkasa komuniti PMKS agar lebih kompetitif, berdaya tahan dalam mendepani tentangan ekonomi semasa melalui belanjawan Madani 2024.
“Bagi memperkasa PMKS, peruntukan sebanyak RM 2.4 billion disediakan kepada usahawan di bawah Bank Negara Malaysia, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan agensi-agensi di bawah KUSKOP.
“Manakala, peruntukan RM 300 juta di bawah TEKUN bagi menyediakan kemudahan pembiayaan kepada penjaja dan peniaga kecil termasuk usahawan Orang Asli serta Bumiputera Sabah dan Sarawak,” tambahnya.
Dalam majlis tersebut, Zahid turut meluncurkan tiga projek naiktaraf jalan luar bandar Kedamaian iaitu Jalan Tengkurus Lahanas Siba-Lahanas Sokid, Jalan Sayap yang dalam proses pelaksanaan serta Jalan Podos Taginambur yang melibatkan kos berjumlah RM224 juta di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“Saya harap projek-projek ini akan menjadi peralihan kepada pembangunan sosio-ekonomi kawasan Kedamaian terutama kampung-kampung yang menggunakannya, oleh itu kita akan pastikan perlaksanaannya mengikut jadual yang ditetapkan supaya rakyat dapat merasai hasilnya kelak, “ujarnya.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.


































