Armizan membantu mengisi minyak petrol semasa mengadakan tinjauan pelaksanaan Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming (PoS to PoS) di sekitar daerah Tenom hari ini.
TENOM: Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan berjumlah RM225 juta untuk pelaksanaan Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming (PoS to PoS) tahun ini yang melibatkan enam negeri iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah.
Bagi Sabah, sebanyak 654 Point of Sale (PoS) telah dikenal pasti bagi pelaksanaan tahun 2024 dengan anggaran peruntukan sebanyak RM79.7 juta.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pogram ini melibatkan pemberian subsidi kerajaan melalui pelantikan syarikat-syarikat transporter yang memberikan perkhidmatan mengangkut barang-barang perlu dan kawalan yang terpilih daripada pusat/sumber bekalan (point of source) kepada pusat penjualan (point of sale) di kawasan pedalaman dan pulau.
Katanya, objektif program ini adalah untuk memastikan para penduduk di kawasan pedalaman terpilih mempunyai akses kepada sejumlah barangan perlu khususnya barangan kawalan pada harga yang sama yang dinikmati oleh para penduduk di kawasan lain.

Pada masa yang sama, tambahnya, program ini juga dapat membantu mewujudkan kestabilan bekalan barang perlu dan kawalan di kawasan pedalaman.
“Melalui program ini, kos pengangkutan barangan ke kawasan pedalaman terpilih dibiayai oleh Kerajaan.
“Tujuh jenis barangan yang terlibat dalam program ini ialah beras putih, gula putih bertapis kasar, tepung gandum, minyak masak, gas petroleum cecair LPG (tong gas memasak), petrol RON95 dan diesel,” katanya semasa mengadakan tinjauan pelaksanaan Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming (PoS to PoS) di sekitar daerah Tenom hari ini.
Armizan berkata, KPDN sedang dalam proses menambah baik pelaksanaan program ini yang melibatkan tiga aspek iaitu;
* Tatacara Perolehan
Pada peringkat awal pelaksanaan proses perolehan pelantikan syarikat transporter adalah melalui rundingan terus. Penambahbaikan tatacara perolehan melalui kaedah tender terbuka yang telah mula dirintis pada pertengahan tahun 2023 secara menyeluruh.
* Mekanisme Kawalan dan Pematuhan
Kajian sedang dilaksanakan untuk menambah baik mekanisme kawalan dan pematuhan sedia ada yang bergantung kepada pelaporan secara manual. Ini termasuk pengukuhan pelaporan bergambar dan mempertimbangkan pembangunan sistem khas dengan mengambil kira isu kebolehcapaian internet di kawasan pedalaman.
* Penyasaran Komuniti Penerima
Menangani isu ketirisan dan memastikan sumber bekalan yang terhad dapat dinikmati oleh kumpulan sasaran. Ini termasuk mendapatkan penglibatan proaktif pentadbiran setempat untuk mencadangkan point of sale dan penerima manfaat di kalangan kumpulan sasar.
Armizan berkata, KPDN akan berusaha untuk menambah baik pelaksanaan ini untuk memastikan objektif program dapat dicapai dan sekali gus membolehkan kumpulan sasar mendapat manfaat sejajar dengan dasar penyasaran subisidi di bawah Kerajaan Madani.


































