Andi (depan, lima dari kiri) bersama para pegawai pendidikan, guru dan peserta PTR Empowering Camp 2.0.
TAWAU: Program Tuisyen Rakyat (PTR) Parlimen Kalabakan menganjurkan PTR Empowering Camp 2.0 di Institute of Science and Management (ISM) Tawau di sini kelmarin sebagai usaha berterusan untuk membantu pelajar dalam menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ini sekaligus dapat membantu melahirkan kuantiti dan kualiti pelajar yang cemerlang terutamanya kawasan luar bandar.
Program sehari itu, yang merupakan kesinambungan daripada program sama yang diadakan pada 16 dan 17 Disember tahun lalu, disertai lebih kurang 300 pelajar Tingkatan 5 daripada empat buah sekolah menengah di sini.
Sekolah tersebut ialah SMK Wallace Bay, SMK Umas-Umas, SMK Kalabakan dan SMK Abaka.
Ia dirasmikan oleh Pembantu Menteri Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy yang juga Ahli Parlimen Kalabakan dan ADUN Tanjung Batu yang berkata, PTR Empowering Camp diadakan untuk melahirkan kuantiti dan kualiti pelajar yang cemerlang terutamanya kawasan luar bandar dan seterusnya dapat mengharumkan nama sekolah seiring dengan sekolah-sekolah lain di kawasan bandar yang terkenal dengan tradisi kecemerlangannya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada para guru kerana telah memberi peluang kepada para pelajar untuk mengikuti program tersebut sebelum bertempur di medan peperiksaan nanti, serta pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau yang menyokong usaha pihak PTR menganjurkan program ini.
Dengan adanya kerjasama antara pihak sekolah, PPD Tawau dan guru secara tidak langsung dapat melancarkan urusan pihak PTR dalam menganjurkan program ini.
“Untuk makluman, PTR Empowering Camp 2.0 ini adalah satu inisiatif proaktif Program Tuisyen Rakyat yang dibuat dengan beberapa sasaran penting antaranya memberi ruang dan peluang kepada pelajar luar bandar untuk sama-sama mendapat manfaat melalui program pemantapan akademik sebelum bermulanya peperiksaan SPM.
“Saya difahamkan, untuk program kali ini empat buah sekolah telah diberi peluang untuk sama-sama menuntut ilmu. Bukan itu sahaja, pihak PTR turut menyasarkan agar program ini mampu meningkatkan kemahiran menjawab soalan dengan lebih baik melalui pengisian slot pendedahan skema pemarkahan untuk subjek teras kepada para pelajar,” katanya.
Beliau menyambut baik program seperti ini yang secara tidak langsung dapat menyuntik semangat pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada hujung Januari ini.
“Saya percaya, para peserta program sudah pasti memahami dan menyedari manfaat pelaksanaan program ini yang berteraskan ‘outreach’ yang bertujuan sebagai suatu siasah untuk membantu menyemarakkan semangat dan memberikan dorongan kepada murid sebelum menghadapi peperiksaan kelak,” ujarnya.
Andi berharap program seumpama ini menjadi batu loncatan kepada para peserta dalam mengekalkan momentum dengan semangat baharu sebelum menghadapi peperiksaan.
“Besarlah harapan saya agar program sebegini dapat diteruskan khasnya untuk para pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan SPM.
“Meskipun begitu, sebagai peneraju program, kita hendaklah peka dengan cabaran pendidikan negara yang sedang menghadapi cabaran yang semakin kompleks dan membawa perubahan pantas.
“Diharapkan, usaha murni ini mampu menjadi permulaan kurikulum yang rapi, relevan dan munasabah seiring situasi semasa.
“Pelaksanaan bersungguh-sungguh akan membawa kejayaan pencapaian sistem pendidikan yang benar-benar bersedia menghadapi cabaran masa depan terutamanya pada zaman informasi tanpa sempadan ini,” katanya.
Berharap para peserta program akan beroleh kejayaan yang cemerlang seiring usaha yang telah digembleng, beliau berharap mereka tidak akan mudah berputus asa dan buat sehabis baik pada hari peperiksaan nanti.
“Semoga adik-adik mampu memberikan hadiah kejayaan buat kedua orang tua anda,” katanya.


































