Seorang pekerja penyelenggaraan melecur sehingga 30 peratus di bahagian kaki selepas terjatuh ke dalam kawah zink di sebuah kilang pembekal paip di Nibong Tebal, Pulau Pinang, kelmarin. – Pic: Ihsan Bomba
NIBONG TEBAL: Seorang pekerja penyelenggaraan yang juga vendor berdepan detik-detik mencemaskan selepas terjatuh ke dalam kawah zink bersuhu tinggi di sebuah kilang pembekal peralatan paip di Taman Perindustrian Nibong Tebal di sini, kira-kira pukul 10.58 pagi kelmarin.
Difahamkan, ketika kejadian, suhu kawah yang berkeluasan kira-kira enam kali 1.5 meter persegi itu sedang menggelegak iaitu mencapai tahap kepanasan sehingga 450 darjah celsius.
Menurut Utusan Malaysia, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, akibat insiden itu, mangsa yang juga seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40 tahun melecur sebanyak 30 peratus di bahagian kaki.
Terdahulu, katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal dikejarkan ke lokasi kejadian dengan dibantu oleh anggota BBP Sungai Bakap selepas menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu.
“Ketika bomba sampai, mangsa bagaimanapun telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam.
“Mangsa kemudian dibawa dengan menggunakan ambulan ke Hospital Sungai Bakap (HKB) di sini untuk menerima rawatan lanjut,” kata beliau.
Tambahnya, operasi ditamatkan kira-kira pukul 11.32 pagi selepas semua kerja berkaitan selesai sepenuhnya.
































