GEORGE TOWN: Seorang lelaki warga emas berusia 60-an maut selepas ditikam 27 kali dengan pisau di tempat letak kereta sebuah apartment di Jalan Perak, di sini petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.18 petang itu, mangsa dipercayai ditikam di bahagian leher dan seluruh badan oleh seorang suspek dengan sebilah pisau pendek manakala seorang lagi suspek menunggu rakannya di atas motosikal.
Menurut Utusan Malaysia, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut , Superintenden V. Saravanan berkata, mangsa yang merupakan peniaga makanan di Jalan Perak disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP).
”Mangsa dibawa ke hospital dengan ambulans, namun disahkan meninggal dunia di HPP ketika diberi rawatan.
“Ini kerana, wang dan beberapa barangan milik peribadi mangsa masih berada pada badannya. Mangsa mempunyai beberapa rekod lampau dan tinggal di apartment tersebut,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.
Menurutnya, polis sedang memburu dua suspek berkenaan setelah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lif dan bawah pondok pengawal apartment berkenaan.
“Semasa kejadian rakan suspek yang menunggang motosikal hanya berada di motosikal.
“Dia dipercayai bersiap sedia untuk melarikan diri jika terdapat pihak polis yang datang ketika rakannya menyerang mangsa,” katanya.
Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
































