KOTA KINABALU: Majlis Gereja-Gereja Sabah bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sekali lagi buat kali ke-18 bekerjasama menganjurkan Kota Kinabalu Christmas Celebration 2023 (KKCC 2023) di Padang Merdeka, di sini, pada 12 hingga 15 Disember ini.
Ketua Pengarah DBKK, Junainah Abbie berkata, sambutan acara Krismas ini adalah terbuka kepada semua orang awam sepanjang empat malam berturut-turut, bermula pada jam 6 petang hingga 10 malam.
Katanya, Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor akan menyempurnakan perasmian sambutan ini pada 12 Disember.
“Tema krismas yang dipilih pada tahun ini adalah “Krismas: Perpaduan dan Harmoni” merupakan seruan untuk bersatu dan bersama-sama walaupun kita mempunyai perbezaan.
“Ia juga mengingatkan kita bahawa kita semua adalah satu komuniti, dan kita harus berusaha untuk mempromosikan perdamaian, kasih sayang, dan pemahaman dalam masyarakat kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Junainah berkata, persembahan pentas akan dimeriahkan lagi dengan persembahan nyanyian, tarian dan drama oleh gereja dan para artis tempatan Sabah seperti The Male-Efficient, Joe Balanjiu Jr, Esther Applunius, Monica Marais, Persekutuan Kayan Sabah, Sylvilina, La Cantare Group, Leslie Augustus, persembahan koir dari denominasi gereja yang berbeza dan ramai lagi yang akan menyemarakkan perayaan Krismas ini.
Katanya, lagu tema KKCC 2023 yang bertajuk “Kasih Natal” akan bergema sepanjang malam KKCC sebagai seruan kesatuan kita.
Menurutnya, KKCC Sunset Fun Run 5KM akan diadakan pada 10 Disember (Ahad), sebagai pembuka acara KKCC 2023.
“Larian ini akan dimulakan pada jam 5.30 petang. Pihak jawatankuasa penganjur menganggarkan penyertaan seramai 600 pendaftaran dari seluruh warga Kota Kinabalu. Larian sejauh 5 kilometer ini bermula dari Padang Merdeka ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dan garisan penamat kembali ke Padang Merdeka. Acara larian ini turut dimeriahkan oleh Life Water Industries Sdn. Bhd. bagi tajaan air. Program-program menarik selepas larian seperti cabutan nombor bertuah dan kostum menarik juga akan dilaksanakan,” ujarnya.
Katanya, laungan nyanyian Christmas Carol oleh para jemaat gereja di seluruh Kota Kinabalu akan dipersembahkan di kawasan tertentu di bahagian belakang pentas utama untuk para tontonan pengunjung. Pelbagai gerai jualan yang dibuka dengan menawarkan bermacam-macam barangan, makanan, peralatan Krismas, barangan hasil tempatan dan banyak lagi khusus untuk pengunjung KKCC 2023 ini.
Dekorasi Krismas tahun ini juga akan diwarnai oleh persembahan lampu yang akan memukau para pengunjung yang hadir.
Kata Junainah, sambutan akan urut dimeriahkan dengan hiasan Krismas seperti Nativity Hut dan Pokok Krismas berukuran 50 kaki x 20 kaki. Hiasan lampu Krismas yang menarik akan memberikan suasana yang harmoni buat pengunjung dan tetamu yang hadir.
“Semangat sambutan Krismas ini juga akan kita kongsikan bersama badan-badan amal yang terpilih, yang mana kempen kutipan amal akan dijalankan sepanjang empat malam ini. Kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah juga tidak dilupakan yang mana hadiah natal akan diberikan kepada mereka sepanjang sambutan ini berjalan.
“Bagi mereka yang tidak dapat hadir ke Padang Merdeka boleh mengikuti siaran langsung perayaan ini yang boleh ditonton di laman Facebook rasmi iaitu 18TH Kota Kinabalu Christmas Celebration.
“Marilah kita memeriahkan sambutan ini sebagai satu kebersamaan kita dalam komuniti,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai acara ini boleh hubungi Sr. Lifred Wong di talian 013-870 0264 dan Mandy Nancy Joe di talian 012-842 7080.


































