Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah masih meneruskan perbincangan pelaksanaan pemberian khas daripada Kerajaan Persekutuan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pendirian Kerajaan Negeri masih sama iaitu jumlah pemberian khas yang dituntut adalah berdasarkan formula yang termaktub di bawah Seksyen 2(1), Bahagian IV, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan iaitu bersamaan dengan 40 peratus daripada amaun hasil bersih yang diperolehi oleh Kerajaan Persekutuan dari negeri Sabah.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr. Yusof @ Josree Yacob (Sindumin) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Dr. Yusof bertanya kepada Ketua Menteri apakah status perlaksanaan mengenai Hak-Hak Sabah seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63); dan apakah perkara–perkara yang telah dipersetujui dan adakah ia telah mula dilaksanakan.
Nizam berkata, perkara ini masih dalam proses perbincangan, rundingan dan pelaksanaan di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
“Proses perbincangan, rundingan dan pelaksanaan ini hendaklah melalui beberapa peringkat yang melibatkan aspek perundangan, pentadbiran kewangan, struktur organisasi dan perkara-perkara lain,” katanya.
Katanya, status perkara-perkara yang dituntut di bawah MA63 adalah seperti berikut:
Perkara yang telah selesai dan telah dilaksanakan:
1) Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2);
2) Pemberian Kuasa (Empowerment) Mengenai Pelesenan dan Penangkapan Ikan Laut Dalam Kepada Kerajaan Negeri Sabah;
3) Penyerahan Kuasa ke atas Pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Kerajaan Negeri Sabah;
4) Penyerahan Kuasa Kawal Selia Gas;
5) Pengiktirafan JKR Negeri Sabah sebagai Jabatan Teknikal di bawah AP182;
6) Pelantikan wakil Kerajaan Negeri Sabah sebagai ahli Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN); dan
7) Penyerahan kuasa kawal selia pembekalan elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah pada 3 Januari 2024.


































