Haji Hajiji Haji Noor
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengalu-alukan keputusan Kerajaan UK untuk menukar nasihat perjalanannya untuk warga Britain yang melancong ke Sabah.
Dalam mengalu-alukan keputusan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri berkata, Sabah adalah tempat yang selamat untuk dikunjungi dan berniaga.
“Berikutan penilaian keselamatan terkini oleh Majlis Keselamatan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Negeri Sabah, Pasukan Polis Diraja Malaysia telah memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di Sabah masih terkawal.
“Perintah berkurung telah ditarik balik. Sabah adalah tempat yang selamat untuk dikunjungi dan untuk berniaga,” katanya sambil menambah lebih 150,000 pelancong asing telah melawat pantai timur Sabah dari Januari hingga September tahun ini.
Dengan keputusan Kerajaan UK, Ketua Menteri berharap lebih ramai warga Britain akan melawat Sabah.
Beliau juga berharap negara lain yang telah mengeluarkan nasihat perjalanan akan mengambil iktibar daripada keputusan Kerajaan UK.
Pesuruhanjaya Tinggi British ke Malaysia dalam satu kenyataan berkata, kemas kini itu adalah hasil semakan rapi oleh Pejabat Luar, Komanwel dan Pembangunan UK (FCDO) dan mewakili perubahan besar pertama kepada nasihat perjalanan UK untuk Sabah sejak 2013.


































