Keadaan kereta Proton X50 yang terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat di Jalan Lahat Baru 3, Taman Badrishah dekat Lahat Ahad. – Utusan/Ihsan Bomba
IPOH: Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kebakaran sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), Proton X50 di Jalan Lahat Baru 3, Taman Badrishah dekat Lahat, Ahad.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, dua lelaki berusia 27 dan 44 tahun itu diberkas pada pukul 6.30 petang Ahad, di sebuah stesen minyak di Jalan Besar Chemor di sini.
Katanya, dalam tangkapan itu, pihaknya turut membuat rampasan barang kes berupa sebuah kereta jenis Proton Saga BLM, telefon bimbit dan pakaian.
“Semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek masing-masing mempunyai 13 dan 20 rekod lampau bersabit kes jenayah dan narkotik.
“Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-dua lelaki warga tempatan itu positif dadah jenis methamphetamine,” katanya di sini kelmarin.
Menurut beliau, pihak polis telah memperoleh perintah tahanan reman selama tiga hari sehingga esok untuk siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api.
Katanya, dengan tertangkapnya suspek, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya empat kes khianat dengan api dan baling cat di sekitar Ipoh.
“Berdasarkan siasatan awal, dua lelaki ini mendapatkan pekerjaan itu melalui iklan di laman sosial Facebook sebelum diupah individu tidak dikenali dengan komunikasi hanya melalui aplikasi Whatsapp.
“Menurut dua lelaki itu juga, mereka aktif melakukan kegiatan tersebut sejak bulan ini, namun kita percaya ia telah bermula lebih lama lagi,” katanya.
Tambah beliau, siasatan lanjut kes itu sedang dijalankan dan sebaik sahaja siasatan lengkap, pihaknya akan menujuk kertas siasatan tersebut kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan.

































