Masidi (tengah) merakamkan gambar kenangan sebelum membentangkan Belanjawan Sabah 2024.
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mencadangkan belanjawan RM5.701 bilion untuk 2024 dengan lebihan RM35.87 juta, untuk 10 tahun berturut-turut.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Belanjawan Sabah 2024 bertemakan ‘Sabah Teguh, Rakyat Terbela’ menyaksikan jumlah hasil yang akan dikutip pada tahun depan diunjurkan sebanyak RM5.737 bilion.
Membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, Masidi berkata, ekonomi Sabah semakin memulih dengan mencatatkan pertumbuhan menggalakkan iaitu pada kadar 3.7 peratus pada tahun 2022 berbanding 1.5 peratus pada tahun sebelumnya.
“Jumlah KDNK Sabah juga menunjukkan sedikit peningkatan iaitu RM79 bilion pada tahun 2021 kepada RM81.9 bilion pada tahun 2022, manakala KDNK per kapita Sabah pula meningkat kepada RM35,766 pada tahun 2022 berbanding RM30,022 pada tahun sebelumnya.
“Pertumbuhan positif ini antaranya didorong oleh pemulihan semula sektor-sektor ekonomi utama di Sabah,” katanya.
Masidi berkata, dalam tempoh Januari hingga Ogos 2023, Sabah telah mencatatkan imbangan perdagangan sebanyak RM13 bilion berbanding RM24 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2022 iaitu penguncupan sebanyak 45.8 peratus.
Katanya, ini didorong oleh penyusutan jumlah nilai eksport bagi komoditi utama negeri khususnya petroleum mentah (CO) dan minyak sawit mentah (CPO).
“Penyusutan nilai eksport CO adalah berpunca daripada penurunan kuantiti eksport sebanyak 7.8 peratus dan penurunan harga pasaran. Harga purata CO dalam tempoh tersebut telah menurun sebanyak 24.5 peratus iaitu USD 80.59 setong berbanding USD 106.74 setong pada tahun 2022. Ini menyebabkan nilai eksport CO Sabah telah menurun sebanyak 21.1 peratus.
“Kejatuhan nilai eksport CPO pula adalah disebabkan oleh penurunan harga pasaran. Harga purata CPO ialah RM3,873.63 per tan metrik berbanding RM5,628.13 per tan metrik dalam tempoh yang sama tahun 2022 iaitu penurunan sebanyak 31.18 peratus. Penurunan harga CPO ini telah menyumbang kepada penyusutan nilai eksport sebanyak 27.9 peratus,” katanya.
Manakala, jumlah import direkodkan meningkat kepada RM27.3 bilion daripada RM26.4 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun 2022 iaitu peningkatan sebanyak 3.4 peratus.
Peningkatan ini disumbangkan oleh kenaikan nilai import barangan utama negeri seperti jentera dan kelengkapan pengangkutan, makanan serta bahan api galian, pelincir dan sebagainya, kata Masidi.
“Sungguhpun demikian, saya optimis bahawa negeri Sabah berupaya mengekalkan momentum pertumbuhan positif pada tahun ini yang mana akan terus disokong oleh penggunaan domestik yang kukuh, peningkatan pelaburan awam dan swasta serta pemulihan berterusan sektor-sektor ekonomi utama.
“Selain itu, pertumbuhan ini turut didorong oleh pengukuhan pasaran buruh yang dapat dilihat melalui trend penurunan kadar pengangguran iaitu 7.5 peratus pada suku kedua tahun 2023 berbanding kadar 8.6 peratus pada tempoh yang sama tahun 2022.
“Dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif berimpak tinggi untuk mempergiat dan mempercepatkan pemulihan ekonomi, saya yakin secara keseluruhannya pertumbuhan ekonomi negeri bagi tahun 2024 akan kekal positif pada kadar sekitar 4 peratus.”
Masidi berkata, setakat bulan September 2023, inflasi negeri Sabah direkodkan pada kadar 1.8 peratus iaitu sedikit lebih rendah berbanding kadar inflasi nasional iaitu 1.9 peratus.
“Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengawal kenaikan harga barang dan menstabilkan kadar inflasi di negeri ini agar dapat mengurangkan lagi bebanan dan tekanan kos sara hidup rakyat.”
Matlamat dan Strategi Belanjawan 2024
Masidi berkata, pembangunan dan pertumbuhan ekonomi amat penting bagi menjamin kemakmuran dan kesejahteraan negeri ini.
Maka dengan itu, katanya, hasil negeri perlu kekal kukuh bagi membolehkan pelan pembangunan dan pertumbuhan negeri dapat dirangka secara holistik agar manfaat dan kesan limpahannya dapat dinikmati seluruh rakyat di negeri ini.
“Dengan mengambil kira unjuran positif ekonomi negeri pada tahun hadapan, kita dapat melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memenuhi keperluan rakyat terutamanya kemudahan infrastruktur asas dan kemudahan awam yang lebih baik,” katanya.
Justeru itu, katanya, Belanjawan 2024 disediakan untuk mencapai matlamat strategi- strategi perbelanjaan seperti berikut:
* Meningkat dan memperkasakan pertumbuhan sektor-sektor utama iaitu pertanian dan keterjaminan makanan, perindustrian dan pelancongan;
* Memperkasa modal insan dengan memperkukuhkan pengetahuan, kemahiran dan kerohanian agar mempunyai jati diri yang tinggi;
* Menangani jurang sosioekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pelbagai inisiatif yang menjurus kepada inklusiviti dan kesaksamaan;
* Membangun pembolehdaya bagi menyokong pembangunan ekonomi yang meliputi infrastruktur dan infostruktur asas serta kemudahan awam; dan
* Memperkasa keupayaan, kecekapan serta keberkesanan pentadbiran dan sistem penyampaian Kerajaan Negeri.
Selain daripada itu, kata Masidi, pelaksanaan dasar perbelanjaan berhemat, membudayakan cara kerja efisien dan berintegriti akan melicinkan pentadbiran Kerajaan Negeri selaras dengan tema Belanjawan 2024.
Belanjawan 2024 disediakan dengan agihan Anggaran Perbekalan dan Anggaran Pembangunan mengikut Kementerian seperti berikut:
– Kementerian Kewangan: RM2.48 bilion perbekalan, RM5 juta pembangunan;
– Kementerian Kerja Raya: RM1.03 bilion perbekalan, RM689.66 juta pembangunan;
– Jabatan Ketua Menteri: RM712.64 juta perbekalan, RM177.83 juta pembangunan;
– Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan: RM363.91 juta perbekalan, RM189.16 juta pembangunan;
– Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah: RM82.67 juta perbekalan, RM144.50 juta pembangunan;
– Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan: RM184.71 juta perbekalan, RM25.32 juta pembangunan;
– Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi: RM180.13 juta perbekalan, RM9.15 juta pembangunan;
– Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat: RM148.82 juta perbekalan, RM16.54 juta pembangunan;
– Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar: RM120.87 juta perbekalan, RM21.04 juta pembangunan;
– Kementerian Belia dan Sukan Sabah: RM88.67 juta perbekalan, RM11.5 juta pembangunan;
– Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan: RM26.11 juta perbekalan, RM38 juta pembangunan;
– Perbelanjaan Tanggungan: RM238.24 juta perbekalan; dan
– Perbelanjaan Yang Tidak Termasuk Dalam Kementerian- Kementerian: RM43.33 juta perbekalan.