Dr. Kasim (tiga dari kiri) dan Dr. Khamisah (empat dari kiri) menerima anugerah sempena Majlis Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2022.
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited dalam memastikan sebarang isu berkaitan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) khususnya di dalam kampus dapat ditangani dengan tindakan yang pantas dan efisien.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, dalam menangani isu tersebut, tiga peringkat jawatankuasa telah dibentuk khusus untuk menumpukan perkara berkaitan KKP, iaitu Jawatankuasa Induk, Sekretariat KKP yang diketuai seorang Profesor, dan Jawatankuasa Peringkat Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang diketuai oleh Ketua PTJ masing-masing.
“Melalui penubuhan tiga peringkat jawatankuasa ini, kita dapat berbincang setiap masa, dan sebarang isu berkaitan KKP dapat ditangani dengan cepat.
“Universiti mahu memastikan bahawa tidak ada kompromi terhadap sebarang isu berkaitan KKP,” katanya dalam satu rancangan temu bual sempena kejayaan UMS menerima dua Anugerah Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2022baru-baru ini.
Dr. Kasim turut memaklumkan, UMS turut mewujudkan satu sistem berhubungan atas talian yang dikenali sebagai NADOPOD UMS (Notification of Accident, Dangerous Occurence, Occupational Poisoning and Occupational Disease UMS).
“Sistem NADOPOD ini membolehkan warga kampus UMS untuk membuat sebarang aduan atas talian sekiranya berlaku sebarang insiden berkaitan KKP.
“Ini sekali gus memberikan kesegeraan kepada tindakan untuk menangani isu KKP dalam kampus, baik di kampus induk Kota Kinabalu, UMS Kampus Antarabangsa Labuan, mahupun Fakulti Pertanian Lestari Kampus Sandakan,” katanya.
Terdahulu, Dr. Kasim menghargai pengiktirafan yang diberikan kepada UMS bagi dua anugerah yang diberikan sempena Majlis Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (National OSH Award) 2022.
Katanya anugerah tersebut adalah pengiktirafan kepada komitmen seluruh warga UMS yang komited memastikan persekitaran kampus adalah selamat dan sihat untuk lebih 22 ribu pelajar dan lebih tiga ribu kakitangan UMS.
UMS memenangi dua kategori Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara, iaitu bagi Organisasi Terbaik (Kategori Institut Pengajian Tinggi) dan Kategori Ketua Pegawai Eksekutif Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Sektor Awam).
UMS diwakili Pengarah Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UMS, Prof. Dr. Khamisah Awang Lukman menerima trofi dan sijil bagi Anugerah Organisasi Terbaik (Kategori Institut Pengajian Tinggi) manakala Kasim dinobatkan sebagai penerima anugerah bagi Kategori Ketua Pegawai Eksekutif Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Sektor Awam).
Anugerah KKP Negara merupakan satu pengiktirafan kepada organisasi-organisasi daripada pelbagai sektor industri yang telah menunjukkan prestasi dan pencapaian cemerlang dalam memastikan KKP di tempat kerja dan individu-individu yang telah menunjukkan prestasi, komitmen serta sumbangan yang cemerlang di dalam bidang tersebut.