Ewon Benedick
PENAMPANG: Kabinet Persekutuan telah bersetuju penggunaan Bahasa Inggeris (BI) dibenarkan bagi urusan rasmi di Sabah dan Sarawak, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata, keputusan itu selaras dengan Perlembagaan kedua-dua negeri yang membenarkan penggunaan BI termasuk dalam prosiding di Mahkamah dan Dewan Undangan negeri (DUN) Sabah dan Sarawak.
Sehubungan itu katanya, penganjuran Program BEST (Be English Speakers Today) amat sesuai dengan dasar dan keputusan kerajaan tersebut.
“Pelancaran BEST ini dapat membudayakan penggunaan Bahasa Inggeris di kalangan anak-anak kita selain daripada bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Progam BEST anjuran Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Yayasan Pendidikan INDEP (IEF) bertempat di SK Moyog, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang, berharap para pelajar menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa iaitu bahasa ibunda yang menggambarkan suku bangsa seseorang, bahasa kebangsaan dan sekurang-kurangnya satu bahasa utama antarabangsa.
“Bahasa kebangsaan wajib untuk dikuasai oleh semua warganegara Malaysia selain bahasa antarabangsa sama ada Bahasa Inggeris, Mandarin, Arab atau bahasa-bahasa utama lain di dunia.
“Saya menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri di Paris beberapa bulan lalu dan banyak yang mengambil bahagian dalam mesyuarat itu dalam bahasa masing-masing tetapi sudah tentu apabila kita berupaya menggunakan bahasa antarabangsa, ia akan menjadi kelebihan apabila berada dalam perkumpulan antarabangsa,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada YBR dan Yayasan Pendidikan INDEP atas inisiatif menganjurkan program yang memberi manfaat kepada para pelajar sekolah.
“Program ini akan memberi manfaat kepada 390 pelajar yang akan mengikuti pembelajaran mengikut modul yang disediakan untuk tujuan memperkasakan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar di enam daerah terpilih iaitu sepuluh sekolah rendah dan dua melalui pertubuhan bukan kerajaan,” katanya dan menambah program itu akan dilaksanakan sehingga tahun depan.
Ewon juga berharap Program BEST dapat diperluaskan ke daerah-daerah lain dan meminta YBR meningkatkan lagi sumbangan terhadap program ini pada masa akan datang agar lebih ramai pelajar di Sabah khususnya luar bandar menguasai Bahasa Inggeris.
Turut hadir Pengerusi Yayasan Pendidikan INDEP, Tan Sri Bernard Dompok, Pengerusi YBR, Datuk Philip Lasimbang, Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Guru Besar SK Moyog, Anni Anthony.
Draf Pelan Pembangunan Penampang 2024-2035 dibentang dalam mesyuarat JTPD Penampang
Ewon turut menghadiri pembentangan Draf Pelan Pembangunan Penampang 2024-2035 dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) Penampang, di sini, hari ini.
Ewon berkata, pelan tersebut mencakupi enam prinsip pembangunan iaitu ketersediaan kemudahan asas, kemakmuran sosio ekonomi, teknologi dan inovasi, kecemerlangan urus tadbir, kemampanan alam sekitar fan seni budaya dan warisan.
“Strategi pembangunan dalam pelan ini ialah pewujudan pusat perniagaan utama, penjanaan ekonomi setempat, pembangunan petempatan dan komuniti bahagia, persekitaran yang bersih dan hijau serta urus tadbir efektif dan efisien.
“Melalui pelan ini juga, cadangan-cadangan projek pembangunan turut dinyatakan. Sebagai Wakil Rakyat, saya mahu menjadikan dokumen ini sebagai input kepada penyediaan rancangan pembangunan kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan,” katanya.
Ewon berkata, potensi pembangunan Penampang harus dijayakan menjadi kawasan maju, mampan, dinamik, bahagia dan mesra alam.
“Pelan ini terhasil melalui penyelidikan dan libat urus dengan pelbagai pemegang taruh dan penduduk di kawasan Parlimen Penampang selama enam bulan yang dijalankan oleh Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah menggunakan peruntukan saya sebagai Ahli Parlimen Penampang.
“Pelan ini dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) semasa lawatan kerja beliau ke daerah Penampang pada 7 Disember 2023 ini. Saya akan mengambil langkah pro-aktif menjayakan rancangan-rancangan pembangunan dalam pelan ini,” katanya.
Mesyuarat JTPD tersebut dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Penampang Francis Chong dan turut dihadiri ADUN Kepayan Jannie Lasimbang.