Ewon merasmikan cawangan baharu Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change di Ranau.
RANAU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, pembukaan Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change, Bank Rakyat Ranau mampu memacu kemakmuran sosioekonomi rakyat, sekali gus mengubah taraf hidup masyarakat luar bandar.
Beliau berkata, ia juga sejajar dengan matlamat Kerajaan untuk merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan keusahawanan di Sabah khususnya di Ranau yang terkenal dengan aktiviti pelancongan.
“Pembukaan Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change juga bertepatan dengan konsep Malaysia Madani menyediakan kebolehcapaian ekosistem kewangan yang lebih inklusif.
“Dalam konteks ini, Rakyat Xcess menawarkan rangkaian kemudahan perbankan yang boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat seperti pembukaan akaun simpanan.
“Manakala Ar-Rahnu X’Change pula menyediakan kemudahan pembiayaan patuh Syariah bercagarkan emas, iaitu Skim Pajak Gadai-i yang mudah dan pantas,” katanya ketika berucap merasmikan cawangan baharu Rakyat Xcess dan Ar-Rahnu X’Change, di Bank Rakyat Ranau, hari ini.
Ewon berkata, inisiatif meluaskan rangkaian perbankan ini selari dengan komitmen berterusan Kementerian dalam memenuhi mandat membantu membangunkan golongan unserved dan underserved khususnya di kawasan luar bandar menerusi penyediaan pelbagai penyelesaian kewangan dan perbankan yang bersesuaian dengan keperluan individu serta perniagaan.
Sementara itu, Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd. Irwan Mohd. Mubarak berkata, Bank Rakyat sentiasa mengambil langkah proaktif dalam mengukuhkan rangkaian perniagaannya di setiap pelusuk negara tidak kira di bandar atau luar bandar.
“Saya percaya cawangan yang dilengkapi dengan fasiliti dan perkhidmatan termasuk produk pembiayaan, simpanan serta pelbagai perkhidmatan lain ini akan memanfaatkan lebih 85,000 penduduk Ranau serta kawasan sekitarnya, khususnya dalam melaksanakan urusan perbankan yang mudah, selamat dan pantas,” katanya.
Pada majlis itu, Ewon turut menyampaikan hadiah cabutan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus Bank Rakyat berjumlah RM100,000 kepada pemenang cabutan bulan Oktober 2023 sempena ulang tahun Bank Rakyat ke-69.
Bank Rakyat kini menawarkan hadiah lumayan berjumlah keseluruhan RM5.8 juta dengan hadiah utama RM1 juta. Cabutan bagi hadiah terbaharu ini bermula awal Ogos lalu sehingga Januari 2025.
Setakat ini, jumlah keseluruhan pelaburan adalah sebanyak RM139 juta melibatkan lebih 24,000 pemegang akaun.
Di samping itu, tarikh akhir cabutan bagi pemenang hadiah RM1 juta akan diadakan pada bulan Januari 2024. Justeru, Bank Rakyat menyeru orang ramai untuk melanggan dan melabur menerusi Akaun Pelaburan-i Rizq Plus sebelum 31 Disember ini untuk berpeluang menjadi jutawan.
Pada majlis itu, Bank Rakyat turut memberikan hadiah cabutan bertuah kepada 10 pengunjung bertuah.
Sementara itu, Bank Rakyat, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyampaikan sumbangan Program Kasih Wira Negara kepada tiga waris perwira Polis Diraja Malaysia yang terkorban dalam insiden pertempuran di Lahad Datu, pada tahun 2013.
Ewon yang menyampaikan sumbangan itu berkata, bantuan itu sebagai pengiktirafan terhadap keberanian dan pengorbanan mereka dalam mempertahankan negara.
“Walaupun sudah sedekad insiden ini berlaku, namun pengorbanan mereka tidak seharusnya kita lupakan.
“Semoga dengan sumbangan yang diberikan ini dapat meringankan beban serta memberi sokongan dan keceriaan kepada para waris,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Ewon berkata, meskipun pengorbanan wira negara tidak ternilai harganya, beliau berharap agar sumbangan itu dapat membantu meringankan beban dan memberi sokongan moral kepada para waris.
“Sesungguhnya, pengorbanan dan keberanian perwira negara kita tidak akan pernah dilupakan,” katanya.