KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Api-Api, Raffee Shakir (gambar) menggesa agar pelaksanaan kad pengenalan rakyat Sabah, atau dikenali sebagai Sabah IC, dipersetujui dan dilaksanakan sahaja tanpa persetujuan pihak Putrajaya, selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, pelaksanaan Sabah IC perlu dipercepatkan agar dapat membawa keharmonian dalam menentukan siapa dan dimanakah asal usul rakyat Wilayah Sabah yang sebenar.
“Pihak Putrajaya semestinya telah sedia maklum dan faham mengenai peruntukan undang-undang antarabangsa yang telah termaktub dalam perjanjian MA63 dan bukan hanya menyatakan ia akan dilaksanakan atau memberi pelbagai alasan yang boleh melambatkan proses pelaksanaannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menyokong penuh hasrat dan perjuangan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan seperti yang ditegaskan beliau dalam ucapan perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini mengenai sentuhan para pengundi asal dan asli rakyat Sabah di dalam menentukan hala tuju dan hak sabah agar pembangunan ditentukan sendiri dan bukannya oleh orang luar.
Raffee berkata, penduduk yang bukan asal dari Wilayah Sabah boleh balik ke tempat asal mereka dan melaksanakan tanggungjawab mengundi mereka masing-masing dalam memastikan negeri asal mereka lebih stabil dan bukannya ditentukan oleh orang luar.
Beliau juga menegaskan pemimpin Wilayah Sabah kini sangat komited dalam melaksanakan tuntutan yang sekian lamanya hanya asyik ditimbulkan di Parlimen tetapi masih lagi perlu dirujuk mengikut undian majoriti Ahli-ahli Yang Berhormat.
“Satu lagi tindakan memberangsangkan yang perlu disokong penuh terutama sekali oleh Ahli-ahli Parlimen Sabah ialah mengenai huraian Dr. Jeffrey tentang persempadanan atau tambahan kawasan parlimen di Sabah dan Sarawak yang perlu diperluaskan agar ianya selaras dengan jumlah Ahli-ahli Parlimen di Semenanjung supaya dapat membawa kestabilan dari segi politik dan pembangunan yang adil dan saksama kepada Sabah dan Sarawak.
Raffee berkata, memandangkan Wilayah Sabah kini dibanjiri oleh warga yang bukan Asal dari Sabah, pihak berkuasa juga perlu menjadi benteng dalam mempastikan kedaulatan wilayah ini terus terjaga termasuk memastikan peluang pekerjaan dan peniagaan di Wilayah Sabah tidak dimonopoli oleh pihak yang bukan Asal dari Wilayah Sabah.
“Pihak pentadbiran/agensi yang mengeluarkan lesen peniagaan juga perlu memandang serius dan menyiasat lebih teratur siapa yang melaksanakan perniagaan seperti contoh, sector pelancongan khususnya, harus dibenarkan hanya kepada rakyat Asal Wilayah Sabah.
“Para peniaga dalam industri ini juga perlu menjaga produk pelancongan Sabah atau melaporkan jika ada berlakunya satu sistem ‘Alibaba’ dalam sektor pelancongan atau sektor penting yang lain yang menjadi penyumbang utama ekonomi Wilayah Sabah,” tegasnya.


























