Ewon bergambar bersama para peserta bengkel.
PENAMPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Buhavan Square, Donggongon, di sini, pada 7 Disember ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, sambutan HPPK peringkat Kebangsaan yang julung kalinya diadakan di Sabah dan kawasan tamu akan berlangsung selama tiga hari bermula 7 hingga 9 Disember.
“Sepanjang tempoh sambutan itu kita mengadakan pelbagai acara termasuk pameran agensi-agensi kerajaan berkaitan keusahawan dan juga agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“Selain itu kita juga akan mengadakan jualan daripada usahawan-usahawan, penjaja dan peniaga kecil-bukan sahaja dari Sabah tetapi Sarawak dan Semenanjung,” katanya.
Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, pemilihan Donggongon sebagai lokasi pelaksanaan kerana mahu memberikan penghargaan dan meraih para penjaja dan peniaga kecil-kecilan di mana mereka berniaga.
“Pekan Donggongon mempunyai beberapa tamu iaitu Tamu Sangadau, Tamu Mingguan dan Pasar Harian. Oleh itu wajarlah sambutan HPPK diadakan di tempat mereka berniaga,” katanya.
Katanya lagi, penganjuran HPPK peringkat kebangsaan sebelum ini dianjurkan bertemakan ‘persidangan’ tetapi tahun ini dianjurkan dengan tema ‘karnival’ jualan para penjaja dan peniaga kecil-kecilan.
“Kita juga mengadakan Showcase 1 Daerah 1 Industri (SDSI) iaitu salah satu program KUSKOP serentak dengan sambutan HPPK selama tiga hari di Donggongon,” katanya.
Mengenai jumlah penjaja dan peniaga kecil-kecilan di seluruh negara, Ewon berkata, dianggarkan satu juta peniaga yang dikategorikan sebagai penjaja iaitu yang berniaga di tamu-tamu, di luar bangunan sekolah dan di tepi-tepi jalan.
“Sebab itu, kementerian telah membangunkan Pelan Pemformalan Usahawan Informal kerana kebanyakan usahawan ini tidak mempunyai lesen.
“Melalui pelan ini kita menggalakan merka berdafar dan mendapatkan lesen perniagaan agar mempunyai akses yang lebih baik kepada kemudahan pembiayaan pinjaman keusahawanan yang disediakan agensi-agensi kementerian,” katanya.
Ewon berharap dengan penganjuran HPPK di kawasan tamu akan meningkatkan kesedaran kepada golongan itu untuk beralih daripada usahawan informal kepada usahwan formal.
“Dengan adanya data itu, memudahkan kita mengetahui jumlah sebenar usahawan, peniaga dan penjaja kecil-kecilan di seluruh negara seterusnya membolehkan kementerian membangunkan dasar, program dan belanjawan yang lebih baik untuk manfaat golongan itu,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas peruntukan sebanyak RM20 juta dalam Belanjawan 2024 bagi melaksanakan Projek Tamu Desa.
“Saya telah mengemukakan permohonan kementerian supaya disediakan bajet membina kemudahan infrastruktur, gerai-gerai keusahwanan bagi penjaja dan peniaga kecil di luar bandar.
“Syukur Perdana Menteri telah memperuntukkan sejumlah peruntukan itu untuk kita melaksanakan Projek Tamu Desa desa di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak.
“Ini satu program baharu di bawah kementerian saya selepas saya diberi mandat menerajui kementerian ini,” katanya dan menambah, beliau akan mengunjungi kawasan tamu di seluruh Sabah yang memerlukan bangunan infra seperti gerai yang akan dilaksanakan tahun depan.
KUSKOP perkenal dua skim baharu
Sementara itu, ketika berucap merasmikan Bengkel Sulaman Siling Tradisi anjuran bersama Persatuan Unduk Ngadau Sabah (PUNS) dan SIDMA College di sini hari ini, Ewon berkata, KUSKOP akan memperkenalkan dua skim baharu bagi melonjakkan lagi pembangunan keusahawanan dan koperasi di negara ini.
Menurut beliau, dua skim baharu tersebut ialah Skim Pembiayaan Usahawan Kraf yang dilaksanakan oleh TEKUN Nasional dan Program Rangsangan Koperasi Pelancongan yang akan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.
Mengenai skim usahawan kraf, beliau berkata, pembiayaan yang disediakan adalah sehingga maksimum RM100,000 kepada usahawan-usahawan mikro dan kecil dalam seni kraf, baju batik, kraftangan, cenderamata dan perusahaan dalam sektor kraf.
“Saya dan Menteri Pelancongan Datuk Tiong King Sing telah mengadakan perbincangan bagaimana infustri kraftangan dan batik negara dapat dilonjakkan di kalangan usahawan kecil. Kami bersetuju skim pembiayaan perlu diperkenalkan khusus untuk ini.
“Seterusnya Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan semasa membentangkan Belanjawan 2024 telah mengumumkan program untuk membantu usahawan-usahawan kraf dan batik. Justeru, skim ini akan dilancarkan dalam masa terdekat ini,” katanya.
Sementara itu, berkenaan dengan pakej rangsangan koperasi pelancongan, Ewon menyatakan sebanyak RM2 juta disediakan oleh KUSKOP melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi menyokong pembangunan sektor pelancongan melalui rangsangan pembiayaan penginapan homestay, inap desa dan rumah tumpangan yang dioperasikan oleh koperasi pelancongan.
“Di bawah program ini, kita akan membiayai sebahagian daripada harga pakej penginapan yang disediakan oleh koperasi-koperasi pelancongan. Ini bererti pelancong akan membayar harga yang lebih murah apabila berkunjung dan menginap di homestay, inap desa dan rumah tumpangan milik koperasi pelancongan.
“Program ini saya yakin dapat memberi manfaat kepada koperasi-koperasi pelancongan desa dan merupakan sumbangan awal kita ke arah Tahun Melawat Malaysia 2026 supaya pelancong juga berkunjung ke pusat-pusat pelancongan milik koperasi yang mempunyai pakej penginapan. Saya bercadang untuk melancarkan program ini di Sabah pada awal tahun hadapan,” katanya
Mengenai bengkel tersebut, Ewon menyatakan harapan beliau agar para peserta akan menjadi usahawan mengeluarkan pakaian tradisi atau perkhidmatan lain yang berkaitan dengan pakaian tradisi etnik Sabah.
“Di bawah pelbagai skim melalui agensi-agensi KUSKOP, para peserta bengkel yang menjalankan perniagaan dalam perkhidmatan ini boleh memohon pembiayaan. Malah jika ada usahawan yang ingin mengembangkan perniagaan melalui perolehan mesin, automasi dan digitalisasi bagi meningkatkan produktiviti, kita juga telah melancarkan skim geran usahawan Bumiputera Sabah dan Sarawak di bawah Bumiputera Enterprise Enhancement Program (BEEP) Plus oleh agensi SME Corp untuk tujuan ini.
“Bengkel ini penting untuk mewariskan pengetahuan dan kemahiran sulaman siling kepada generasi muda, tetapi sebagai Menteri Usahawan saya ingin melihat peserta-peserta bengkel tampil menjadi usahawan sebenar dan berkunjung ke agensi-agensi KUSKOP untuk mendapatkan perkhidmatan atau pembiayaan yang berkaitan,” katanya.
Ewon melalui peruntukan khas beliau telah menyalurkan geran aktiviti kepada PUNS sebanyak RM20,000 bagi tahun ini dan bersetuju untuk menggandakan jumlah geran tersebut pada tahun hadapan agar persatuan dapat menganjurkan program-program keusahawanan dan pendidikan terutama kepada golongan wanita.