Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Kemajmukan budaya dalam negara mesti terus dipertahan tanpa diganggu gugat oleh mana-mana pihak.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, malah sebarang percubaan untuk melemahkan tiang seri masyarakat mesti dipatahkan dengan sikap berserta nilai dan budi pekerti yang tinggi.
Bersempena perayaan Deepavali ini, beliau menegaskan perayaan itu adalah salah satu jalan dalam membangunkan Malaysia yang madani, hormat-menghormati selain memelihara kerukunan antara kaum.
“Saya akan berusaha bagi memastikan kebajikan dan tahap hidup masyarakat, iaitu masyarakat Hindu terutamanya, terus ditambah baik dan dilindungi.
“Nikmat dan khazanah negara mesti dirasai semua secara adil serta saksama,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Anwar kemudiannya mengucapkan selamat menyambut Hari Deepavali kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Hindu.
Menurut beliau, Deepavali yang diraikan sebagai ‘pesta cahaya’ adalah simbolik kemenangan cahaya ke atas kegelapan, kebaikan atas kebobrokan serta kekuatan ilmu mengatasi kejahilan dan keangkuhan.
“Sekali lagi saya ucapkan ‘Deepavali Nal Valthukal’ (Selamat Hari Deepavali) kepada seluruh penganut Hindu di Malaysia,” katanya.

































