David meninjau harga ayam di pasar raya di sekitar Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU: Harga ayam di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu kekal sama selepas penamatan subsidi harga ayam 1 November lalu, menurut Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah.
Presidennya, David Chan berkata, hasil tinjauannya mendapati harga ayam bulat adalah antara RM11.90 hingga RM12.00 satu kilo, walaupun subsidi harga ayam telah dihapuskan mulai Rabu (I November).
“Harga ayam bulat super di Sabah, terutamanya sekitar bandar raya ini masih pada paras RM11.90 hingga RM12 sekilogram, semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
David berkata, harga kawalan RM11.90 hingga RM11.99 sekilogram dikenakan di kebanyakan pasar raya dan pasar raya besar, manakala di Pasar Besar Kota Kinabalu ianya RM12 sekilogram.
Beliau menambah, selain harga yang dikekalkan, bekalan ayam juga mencukupi dan tiada sebarang bentuk pembelian panik.
Bagaimanapun, David memberitahu pengguna mempunyai hak untuk membeli barang-barang tersebut.
“Ini barang keperluan selain telur ayam yang dimakan setiap keluarga,” jelasnya selepas meninjau harga ayam di sekitar Pasar Besar Kota Kinabalu dan pasar raya.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat mengenai salah laku yang disyaki atau membuat pertanyaan melalui WhatsApp di talian 019-279 4317 atau 019-848 8000; hubungi portal aduan di e-aduan.kpdn.gov.my; Pusat Panggilan di 1-800-886-800; atau hantar e-mel ke e-aduan@kpdn.gov.my; Ez ADU KPDN; hubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245; atau menghubungi ke pejabat KPDN yang berhampiran.


































