Keadaan kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan maut itu. – Ihsan Bomba
PENAMPANG: Sepasang suami isteri warga emas maut apabila kereta Proton Saga dinaiki mereka dirempuh oleh sebuah pacuan empat roda di sini pada semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, PKPgB Zino Tinggalan berkata, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Peter John Lo @ James Lo, 69, iaitu pemandu Proton Saga dan isterinya (identity tidak diperolehi) yang merupakan penumpangnya.
Katanya, kejadian berlaku di Jalan Bypass Taman Padi View, pada jam 6.58 petang.
Menurutnya, panggilan diterima menerusi talian MERS999 dan sepasukan lapan anggota diketuai Komander Operasi, PBKI (KUP) Benny Lim dikejarkan ke lokasi.
“Setiba di tempat kejadian sejauh tiga kilometer dari BBP itu, didapati berlaku satu kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Saga.
“Dua daripada tiga mangsa tersepit dalam Proton Saga tetapi berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba lalu dan disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan KKM di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Zino berkata, pemandu Toyota Hilux mengalami kecederaan bahagian tangan dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans.
Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 7.40 malam, katanya.


































