Dua laporan polis yang telah dibuat itu.
KOTA KINABALU: Dua laporan polis telah dibuat di balai polis Kota Belud dan Penampang malam tadi bagi membolehkan pihak berkuasa serta Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan terhadap laman Facebook Edisi Panas Sabah, admin atau mana-mana yang berkaitan dengan penyebaran dakwaan palsu yang memfitnah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang kononnya telah menyalah guna kuasa.
Biro Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) memaklumkan dalam kenyataan hari ini, laporan polis tersebut menyatakan bahawa tuduhan yang dibuat amat buruk dan berbaur fitnah dan ianya dibuat kerana tidak begitu senang dengan pencapaian baik Kerajaan yang ada sekarang.
“Laporan ini juga dibuat agar pihak berkuasa membuat tindakan dan siasatan terhadap mana-mana pegawai kerajaan yang terlibat dalam penyebaran fitnah tersebut serta membocorkan rahsia kerajaan dibawah Akta Rahsia Rasmi 1972,” katanya.
Sebelum itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor dalam kenyataan kelmarin menyangkal dakwaan penyalahgunaan kuasa dalam meluluskan perjanjian tanah di Kudat.
“Tuduhan itu berniat buruk, bermotifkan politik dan bertujuan untuk memburukkan nama saya. Pejabat saya akan memberikan kerjasama penuh kepada sebarang siasatan berhubung dakwaan itu,” katanya.
“Semua permohonan telah melalui prosedur yang diperlukan melalui mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah (LUC) dan diproses di pejabat.
“Permohonan tanah Yayasan Sabah telah dirujuk kepada Lembaga Pengarah Innoprise Corporation Sdn. Bhd. dan semuanya dilakukan mengikut undang-undang,” katanya menjawab dakwaan dalam laman Facebook tersebut.
Siasatan akan dilakukan dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai yang mengeluarkan dokumen sulit yang telah digunakan untuk membuat dakwaan itu, katanya.
Hajiji berkata, pihak berkuasa juga dimaklumkan mengenai akaun Facebook itu, yang menyiarkan dakwaan itu untuk mencemarkan nama baiknya.
“Saya akan berbincang dengan peguam saya untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap dakwaan palsu ini,” katanya.


































